PELAKON dan pengacara Awal Ashaari tidak merancang menambah bilangan cahaya mata bagi mendapatkan zuriat lelaki, selepas dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Lara Alana dan Lyla Amina.
Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, berkata, tugas membesarkan dua orang anak buat masa ini sudah dianggap mencabar dan memerlukan komitmen tinggi daripada segi masa dan juga kos.
“Untuk menambah bilangan cahaya mata, saya ada bercakap dengan isteri (Scha Alyahya), cukuplah (dua orang anak).
“Ketika anak masih kecil, memang seronok melayan. Tapi apabila mereka semakin membesar, ada satu tanggungjawab yang perlu kita lakukan dengan sempurna.
“Sebagai ibu bapa, kami perlu menyediakan yang terbaik untuk anak-anak selain perlu memastikan kesihatan mental mereka terjaga. Sebab saya dan isteri memang sibuk. Keluar pagi, balik malam,” katanya kepada Kosmo! Online pada Majlis Hi-Tea Usanita dan Welcoming Usahawan Baru, baru-baru ini
Bekas pengacara program One In A Million itu juga bimbang tidak dapat memberikan perhatian sempurna jika dikurniakan anak yang ramai.
Pun begitu, Awal tidak menolak seandainya suatu hari nanti, mereka diberikan rezeki untuk menimang zuriat ketiga pada masa akan datang.
“Saya takut kalau ada anak ramai, jadi tidak terjaga. Buat masa sekarang dua anak sudah pun membuatkan saya dan Scha gembira. Tapi kalau ada rezeki, kami tidak menolaknya (anak ketiga),” katanya.
Disoal tentang cabaran membesarkan dua anaknya, Awal mengakui kos untuk memberikan yang terbaik kepada dua puterinya itu memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
“Sebagai bapa, sudah tentu saya mahu berikan yang terbaik untuk anak-anak terutama pendidikan. Macam Lara, saya hantar dia ke kelas itu dan ini.
“Jadi bila difikirkan balik, lagi ramai anak, lagi besar tanggungjawab kami nanti terutama daripada segi pelaburan (kos).
“Kos membesarkan anak pun sudah cukup tinggi. Tapi mungkin sebab pilihan kami sendiri juga yang mahu berikan terbaik buat mereka,” ujar Awal.
Tambah Awal, dia mahu memastikan anak-anaknya membesar dengan memiliki lebih daripada satu kemahiran walaupun mengakui kasihan melihat anaknya perlu menghadiri pelbagai jenis kelas tambahan.
“Kasihan juga sebab pada usia masih kecil, Lara sudah sibuk dihantar ke pelbagai kelas. Saya tidak nafikan sebenarnya saya sendiri takut anak-anak akan ketinggalan.
“Tapi bila difikirkan semula, bagus juga sebab apabila mereka besar nanti, mereka akan memiliki pelbagai kemahiran berguna,” jelasnya.
Awal mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan model, Scha Alyahya pada 4 Mei 2012 di Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya dan dikurniakan dua orang anak iaitu Lara Alana, 9, dan Lyla Amina. 2. – HIBGLAM