Hilang anak lelaki, Cindy Crawford patah hati

TIDAK dapat dipujuk, supermodel terkenal, Cindy Crawford dikatakan patah hati dan berdukacita dengan kehilangan anak lelaki tunggalnya, Presley Gerber yang menghembuskan nafas terakhir kelmarin.

Tragedi mengejutkan itu disifatkan sebagai mimpi ngeri paling buruk buat Crawford, 60, dan suaminya, Rande Gerber, 64, yang masih tidak percaya kehilangan insan tersayang.

Sumber terdekat memaklumkan ibu kepada dua anak itu masih bergelut untuk menerima hakikat bahawa putera yang dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang kini sudah tiada.

“Mereka sangat rapat. Apa yang anda lihat di media sosial dan akhbar bukan sekadar untuk tujuan itu. Mereka benar-benar keluarga yang akrab.

Hati Cindy sememangnya sangat hancur dengan insiden membabitkan anak lelakinya itu. Dia patah hati,” kata sumber tersebut.

Sumber lain pula mendedahkan keadaan Crawford ketika ini amat menyayat hati apabila dikatakan tidak dapat dipujuk dan masih cuba menghadam kehilangan besar yang dilaluinya.

Dia tidak dapat ditenangkan. Ini juga mimpi ngeri buat setiap ibu bapa dan keluarga yang masih cuba memproses apa yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, Presley, 27, ditemui meninggal dunia pada 20 September lalu ketika berada di sebuah pusat pemulihan di Santa Monica, California, tempat dia dilaporkan mendapatkan rawatan.

Kematian model berusia 27 tahun itu disiasat sebagai kemungkinan terlebih dos, namun punca pemergiannya belum disahkan secara rasmi selepas pemeriksaan bedah siasat memerlukan ujian lanjut.

Kehilangan Presley bukan sahaja meragut kebahagiaan ibunya, malah turut meninggalkan luka mendalam buat satu-satu adiknya, Kaia Gerber.

Crawford sebelum ini dikenali sebagai ibu yang sangat mengambil berat tentang kehidupan kedua-dua anaknya dan sentiasa berada di sisi mereka sepanjang proses pembesaran.

Dia terlibat secara langsung dalam segala perkara berkaitan Kaia, 25, dan Presley sepanjang mereka membesar, bahkan tidak pernah terlepas acara sekolah dan sentiasa mengambil berat tentang anak-anaknya,” kata rakan terdekat keluarga.

Lebih menyayat hati, Presley sebelum ini terbuka berkongsi mengenai perjuangannya berdepan masalah ketagihan dan kesihatan mental.

Pada Disember tahun lalu, anak muda terbabit mendedahkan dia mendapatkan bantuan ramai pakar psikiatri, namun merasakan dirinya memerlukan lebih daripada sekadar rawatan berbentuk ubat.

“Saya tidak mahu diberikan terlalu banyak ruang seperti itu. Saya perlukan panduan,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok