PENYANYI Najwa Latiff berterima kasih kepada semua pihak yang tampil mempertahankan dirinya ketika dihujani pelbagai komen negatif berkaitan bentuk badannya baru-baru ini.
Tidak mudah melatah, Najwa atau nama penuhnya Imratul Najwa Abdul Latif, 31, berkata dia menerima setiap kecaman tersebut dengan berlapang dada.
“Bagi seseorang yang sudah berdepan dengan kebencian sejak berusia 16 tahun, saya tidak pernah mengharapkan sesiapa untuk tampil mempertahankan saya.
“Saya sentiasa percaya bahawa setiap orang berhak mempunyai pandangan masing-masing.
“Saya mungkin tidak dapat menerimanya, tetapi akan tetap menghormati walaupun tak diberikan penghormatan yang sama,” katanya dalam satu hantaran media sosial.
Tambah Najwa, dia menegaskan kelahiran anak perempuannya tidka pernha dianggap sebagai satu beban dalam hidup meski perlu melalui fasa perubahan fizikal.
Dia juga terharu dengan setiap komen netizen yang berusaha melindunginya daripada terus dihambat daripada kecaman.
“Saya membaca semuanya (komen). Untuk pengetahun semua, anak perempuan saya tidak pernah menjadi beban dan dia adalah satu anugerah yang indah.
“Saya jarang berkongsi apa yang dirasai dalam media sosial tetapi sangat tersentuh dengan kasih sayang dan kebaikan yang kalian tunjukkan.
“Terima kasih kerana memahami, tetap berada di sisi dan kerana memilih untuk berbuat baik kepada saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, isteri kepada penyanyi Akwa Ariffin itu menghargai setiap kata-kata semangat yang diberikan oleh orang ramia terhadapnya sejak beberapa hari lalu.
“Saya tidak tahu apa yang telah saya lakukan sehingga layak menerima semua ini tetapi saya berharap segala kebaikan akan berbalik kepada kalian satu hari nanti, insya-Allah.
“Terima kasih kerana membantu menyembuhkan sebahagian daripada diri saya yang berusia 16 tahun,” ujarnya lagi.
Beberapa hari lalu, pelantun lagu Cinta Muka Buku itu menjadi bualan ramai selepas tular sebuah video yang memaparkan perubahan fizikalnya sejak bergelar seorang ibu.
Penularan video tersebut mengundang pelbagai respons termasuk kecaman terhadap fizikalnya dan komen bebraur ‘body shaming’. – HIBGLAM

