Berkat doa Alif & The Locos tawan DFP

MIMPI jadi kenyataan, itulah yang dinikmati bintang serba boleh, Alif Satar apabila impian beraksi di gelanggang gah Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bersama rakan seperjuangan, The Locos bakal terlestari menjelang 26 Ogos depan.

Lebih manis, konsert dinamakan Lochestra: Alif Satar & The Locos With The MPO tersebut bakal menyatukan muzik mereka dengan alunan irama daripada 60 pemuzik orkestra profesional dan berpengalaman luas.

Sudah pasti momen yang akan berlangsung tidak sampai sebulan sahaja lagi menyuntik pelbagai rasa buat penyanyi serta anggota kumpulannya, Tam Cobain (gitar), Efry Arwis (bass), Faliq Auri (saksofon) dan Rajwan Juni (dram).

Bagi Alif, peluang keemasan mengadakan konsert sempena sambutan ulang tahun jubli perak DFP disifatkan sebagai berkat doa di Tanah Suci ketika mengerjakan ibadah haji, baru-baru ini.

Saya terima panggilan telefon daripada pengurus sewaktu mengerjakan haji yang maklumkan berita gembira mengenai tawaran DFP itu, tetapi kami minta diiringi orkestra.

“Memang saya terkesima dan saya cakap ‘wow’, sebab panggilan macam ini biasanya hanya penyanyi-penyanyi seperti Siti Nurhaliza saja yang akan dapat.

“Jadi seminggu jugalah kami tunggu jawapan. Ingatkan dalam tempoh itu tiada lagi peluang buat persembahan di situ selepas kami letak syarat,” katanya yang tidak mampu menyembunyikan rasa teruja.

Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar itu, lebih 17 tahun sebagai penggiat seni dia tidak mengharapkan sebarang anugerah, sebaliknya memasang angan-angan mahu menawan DFP dan berkongsi ‘bunyi’ gah dengan penonton.

Konsert ini bukan satu eksperimentasi walaupun kami band pertama yang diiringi barisan pemuzik orkestra lengkap, sebaliknya menjadi apresiasi buat semua pemuzik band.

“Pada masa sama menjadi cabaran buat kami untuk berada pada tahap seiring dengan pemuzik orkestra yang tentu saja berpengalaman lebih luas.

“Mungkin daripada katalog lagu yang akan diperdengarkan, akan ada pembahagian segmen seperti tribute, cover version dan hits popular yang dianggarkan berlangsung selama dua jam.

Terdahulu, Alif Satar & The Locos yang ditubuhkan pada 2018 sudah membuat pelbagai persembahan di dalam dan luar negara, termasuk Singapura dan United Kingdom.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok