PELAKON, Syazani Zikry selamat bergelar suami kepada pilihan hatinya, Sofiah Abu Bakar, hanya dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah di The Square, A-Park, Puchong, semalam.
Pasangan berkenaan disatukan jurunikah, Ustaz Idrus dengan Sofiah yang diwalikan bapanya, Abu Bakar Ismail.
Berkongsi mengenai detik perkenalan mereka, Syazani berkata, dia mengenali Sofiah menerusi rakan universiti yang juga merupakan jiran kepada isterinya itu.
“Saya kenal Sofiah melalui kawan saya, Amelia. Mula-mula saya ternampak gambar Sofiah di Instagram Amelia dan terus minta kawan saya tanyakan statusnya.
“Selepas itu saya sendiri mendekatinya untuk berkenalan. Rupa-rupanya mereka berdua merupakan jiran,” katanya selepas pernikahan.
Pelakon filem Angkat itu memberikan wang hantaran sebanyak RM20,000, manakala mas kahwin pula berupa seutas gelang emas.
Rombongan Syazani juga menyerahkan lima dulang hantaran, yang dibalas pengantin perempuan dengan tujuh dulang.
Berkongsi lebih lanjut, Syazani berkata, proses mengenali Sofiah mengambil masa sebelum hubungan mereka memasuki fasa serius.
Katanya, mereka mula berkenalan pada Januari 2025 dan selepas 10 bulan, dia memberanikan diri Sofiah bersedia untuk mendirikan rumah tangga bersamanya.
“Hasrat berkahwin memang sudah ada, tetapi tak sangka datang seawal ini. Sewaktu berkawan, saya terus bertanya jika dia mahu berkahwin walaupun belum setahun perkenalan,” ujarnya.
Katanya, mereka merancang berbulan madu pada penghujung tahun ini selepas menyempurnakan komitmen terhadap jadual kerja.
Menurut Syazani, isterinya teringin ke Montenegro di rantau Balkan namun mereka masih belum membuat keputusan mengenai destinasi yang ingin dikunjungi.
Bagaimanapun, sehari selepas majlis pernikahan, pasangan itu akan berlepas ke Vietnam bagi menikmati percutian singkat.
“Ini bukan dikira honeymoon tetapi sekadar short getaway untuk meredakan tekanan sambil berehat,” katanya. – HIBGLAM

