5 hari tawan pawagam, Rahsia raih RM2.2 juta  

LIMA hari ditayangkan di pawagam, filem seram versi reboot, Rahsia melangkah bergaya apabila meraih kutipan RM2.2 juta.

Berita gembira itu dikongsikan dalam Instagram rasmi Astro Shaw selaku penerbit bersama syarikat produksi Five Star Trading, hari ini.

“Alhamdulillah. Filem seram Rahsia berjaya mendapat kutipan sebanyak RM2.2 juta dalam masa lima hari tayangan. Terima kasih kepada semua,” tulis hantaran tersebut.

Rahsia versi 2023 yang juga karya sentuhan anak kepada sutradara asal Othman Hafsham, Shamyl dijangka mampu mengekalkan momentum untuk terus menarik penonton ke pawagam.

Meraih reaksi positif daripada penonton dan penggiat industri filem, Rahsia di tangan Shamyl dikatakan membuatkan khalayak tidak senang duduk sepanjang tayangan.

Sarat elemen mengejutkan dengan suntikan beberapa babak ikonik seperti naskhah terdahulu, setiap adegan mampu membuatkan bulu roma meremang.

Paling meraih perhatian tentu sahaja watak Ramlah lakonan Nabila Huda yang dahulukan dibawakan Noorkumalasari dalam versi terbitan tahun 1987.

Menjiwai watak isteri dan ibu yang kehilangan anak lelaki, aktres berusia 38 tahun itu dipuji ramai berikutan penghayatan serta emosi ditonjolkan.

Selain Nabila dan Fikry sebagai Hamdan, filem itu turut dibintangi Fikry Ibrahim, Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Mislina Mustaffa, serta penampilan istimewa, Othman dan Susan Lankester.

Rahsia membongkar sejarah silam sebuah keluarga membabitkan Ramlah bersama Hamdan dan anak-anak, Marina serta Saiful yang pulang bercuti di rumah bapa wanita itu, Tan Sri Karim.

Keadaan menjadi kelam kabut apabila Saiful tiba-tiba hilang sewaktu mereka berkelah di tepi pantai membuatkan polis melakukan pencarian, tetapi dalam masa sama Ramlah yakin anaknya itu disorok kuasa mistik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok