Terbang lulus, emosi audiens pun ikut sama laju rali

HADIR menonton tanpa meletakkan sebarang harapan tinggi, namun pulang dengan rasa bangga terhadap kehebatan seorang anak Malaysia yang pernah mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Rali atau perlumbaan permotoran ekstrem mungkin bukan sukan arus perdana seperti F1 atau MotoGP, tetapi mempunyai peminatnya sendiri sehingga berjaya melahirkan legenda iaitu Karamjit Singh yang mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Itu air tangan sutradara Chiu Keng Guan menerusi naskhah terbaharunya, Terbang, yang diinspirasikan daripada perjalanan sebenar Karamjit Singh sehingga menjuarai FIA Production Car World Rally Championship (PWRC) sekitar tahun 2002.

Namun, jangan sesekali ke pawagam dengan ekspektasi bahawa Terbang adalah biografi tepat mengenai kehidupan Karamjit. Sebaliknya, naskhah ini mengambil hanya sekitar 60 peratus daripada kisah benar, manakala selebihnya adalah fiksyen.

Terbang mengisahkan Ajeet lakonan Irfan, seorang pelumba yang dihantui trauma selepas terlibat dalam satu kemalangan sebelum meninggalkan dunia rali.

Selepas mendapat kekuatan diri, Ajeet kembali ke trek dan berdepan cabaran baharu apabila perlu mengetepikan trauma serta membuktikan semula kemampuannya.

Kaya emosi

Di sebalik aksi pecutan kereta, filem ini turut membawa cerita tentang trauma, keluarga, persahabatan, persaingan dan usaha seseorang untuk kembali mempercayai dirinya sendiri.

Sepanjang lebih dua jam, penulis tidak menafikan babak perlumbaan adalah tarikan utama naskhah ini yang pastinya membuatkan penonton tidak senang duduk.

Cemas, gelisah, marah, kecewa dan sedih, semua emosi itu dapat dirasai setiap kali babak rali muncul. Ternyata emosi penonton juga turut ‘ikut rali’, terasa seperti duduk di kerusi pemandu!

Mana tidaknya, selain Irfan, Karamjit sendiri turun padang dan memandu bagi menjayakan babak rali dalam Terbang. Padu!

Kalau bercakap tentang visual, memang menarik apabila sinematografi filem banyak memberikan perhatian kepada lokasi perlumbaan, terutama apabila seluruh kru ‘diterbangkan’ ke New Zealand bagi melengkapkan babak kemenangan Ajeet.

Visual sepanjang perlumbaan yang berlatarbelakangkan keindahan bumi New Zealand meletakkan karya ini sebagai antara penanda aras baharu untuk filem berkonsepkan perlumbaan tempatan. Seluruh panggung terdiam kerana terpukau.

Watak

Penampilan pertama sebagai hero filem Melayu, Irfan cemerlang dalam menghidupkan watak Ajeet. Dia menggerakkan watak pelumba dengan cara tersendiri tanpa terlalu terikat dengan karakter Karamjit.

Terkenal dengan watak gangster menerusi Blood Brothers dan filem Tamil, Terbang berjaya menampilkan sisi emosi berbeza Irfan, terutama menerusi babak-babak yang memaparkan dirinya sebagai suami.

Terkejut juga penulis apabila dia mampu melakukan babak air mata dengan baik sehingga penonton pun ikut menangis. Pujian tinggi memang layak diberikan kepadanya.

Bukan watak utama kali ini, Zizan hadir sebagai Imran yang ternyata membawa warna tersendiri dalam jalan cerita Terbang. Tidak kering gusi penonton setiap kali wajahnya muncul di skrin.

Karakter ‘loyar buruk’ dengan lawak bersahaja Zizan adakalanya membantu memberikan keseimbangan dan meringankan beban emosi penonton.

Paling melekat dalam ingatan penulis pastilah babak Zizan cuba menghalang hujan dengan mencampakkan seluar dalam di atas bumbung khemah, situasi yang cukup sinonim dengan masyarakat Melayu.

Barisan pelakon lain seperti Jack Tan, Nam Ron, Shweta Sekhon, Diana Danielle, Luqman Hafidz dan Qasrina Karim turut memainkan peranan masing-masing sekali gus melengkapkan cerita.

Meski begitu, Terbang bukanlah sebuah filem yang sempurna kerana terdapat juga beberapa bahagian yang mungkin tidak sepenuhnya menggambarkan era awal tahun 2000-an. Namun, kekurangan tersebut tidak merosakkan keseluruhan alur cerita.

Ditayangkan sehari selepas Hari Malaysia, naskhah ini mampu meledakkan rasa bangga terhadap perjuangan anak Malaysia untuk mengharumkan nama negara di mata dunia.

Bagi penulis, Terbang bukan hanya untuk golongan milenial yang pernah menyaksikan zaman kegemilangan Karamjit, namun tetap boleh dinikmati pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan kaum.

Jadi, tidak semestinya perlu hadir dengan kisah tokoh atau pejuang kemerdekaan untuk menerbitkan rasa patriotik. Rali juga mampu membuktikannya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok