LEBIH sedekad menghantui penonton menerusi bunyi muzik yang mencemaskan, wajah-wajah menyeramkan dan alam ghaib bernama The Further, francais Insidious kembali dengan taruhan keenam menerusi Insidious: Out of the Further.
Kali ini, kisah tidak lagi terlalu bergantung kepada keluarga Lambert yang menjadi nadi beberapa filem terdahulu.
Sebaliknya, penonton diperkenalkan dengan Gemma lakonan Amelia Eve, seorang ibu muda yang kembali menetap di rumah zaman kanak-kanaknya bersama anak perempuan.
Gemma mendapati dirinya mempunyai kemampuan luar biasa untuk memasuki The Further, alam limbo yang dihuni roh-roh tersesat dan entiti jahat.
Lebih membimbangkan, Gemma bukan sahaja mampu masuk ke alam tersebut, malah boleh membawa makhluk dari The Further kembali ke dunia nyata.
Di sinilah Out of the Further cuba memberikan nafas baharu kepada formula yang sudah digunakan berkali-kali sepanjang francais ini.
Jika sebelum ini The Further menjadi destinasi yang perlu dielakkan, kali ini sempadan antara dunia manusia dengan alam ghaib itu seolah-olah semakin nipis.

BABAK mengerikan yang memperlihatkan gangguan entiti jahat.
Konsep tersebut sebenarnya cukup menarik kerana ia membuka ruang kepada pembikin filem untuk meneroka sisi The Further dengan lebih luas.
Malangnya, potensi besar itu tidak sentiasa diterjemahkan dengan kemas.
Ketegangan, jumpscare
Pada bahagian awal, Jacob Chase selaku sutradara bijak membina ketegangan tanpa terlalu cepat mendedahkan semua kadnya.
Penonton dibiarkan tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku kepada Gemma, sejarah rumah tersebut dan mengapa entiti tertentu begitu berminat terhadap kemampuannya.
Ada ketika, sesuatu yang kelihatan biasa seperti ruang tamu atau lorong rumah tiba-tiba terasa seperti perangkap.
Adegan membabitkan kubu bantal misalnya, berjaya mengubah sesuatu yang pada asalnya kelihatan tidak berbahaya menjadi ruang yang cukup menggerunkan.
Begitu juga penggunaan bunyi dan kemunculan mengejut yang masih mampu membuatkan penonton tersentak walaupun formula sebegitu sudah terlalu biasa dalam filem seram moden.
Namun, masalah mula timbul apabila filem terlalu bergantung kepada jumpscare dan mitologi The Further untuk menggerakkan cerita.
Penonton yang sudah biasa dengan francais ini mungkin boleh meneka ke mana arah cerita sebelum filem sempat memberikan jawapannya.
Lebih mengecewakan, beberapa tema seperti trauma zaman kanak-kanak dan hubungan kekeluargaan yang cuba diketengahkan tidak diberikan ruang secukupnya untuk benar-benar meninggalkan kesan emosi.
Amelia Eve tetap memberikan persembahan yang meyakinkan sebagai Gemma, terutama ketika berdepan ketakutan yang tidak boleh dilihat atau difahami orang lain.
Namun, hubungan antara Gemma dengan watak-watak di sekelilingnya tidak cukup kuat untuk membuatkan penonton benar-benar peduli terhadap nasib mereka.
Dalam keadaan itu, kemunculan Lin Shaye sebagai Elise Rainier menjadi antara daya tarikan terbesar.
Biarpun bukan lagi watak utama, kehadiran Elise memberikan rasa familiar yang amat diperlukan peminat lama.

KETEGANGAN semakin memuncak apabila watak utama, Gemma berdepan kelibat mengerikan dari dunia The Further.
Terjemahan karakter
Setiap kali Elise muncul, ada perasaan seolah-olah francais ini kembali kepada akar umbinya. Bagaimanapun, nostalgia sahaja tidak mampu menyelamatkan keseluruhan filem.
Out of the Further memperlihatkan masalah biasa yang sering menghantui francais seram panjang iaitu semakin banyak mitologi diperkenalkan, semakin sukar untuk mengekalkan elemen misteri.
The Further yang suatu ketika dahulu terasa asing, gelap dan menakutkan kini seakan hilang magisnya.
Dari sudut visual, filem ini masih mempunyai beberapa imej seram yang mengganggu fikiran, tetapi tidak semuanya meninggalkan kesan sama.
Ada babak yang benar-benar kreatif, manakala sebahagian yang lain terasa seperti mengulang formula filem terdahulu.
Out of the Further — ia masih tahu bagaimana untuk menakutkan penonton, tetapi tidak sentiasa tahu bagaimana untuk membuatkan ketakutan itu terasa segar.
Bagi peminat tegar Insidious, filem ini masih menawarkan cukup banyak gangguan ghaib, kejutan dan kaitan dengan mitologi francais untuk membuatkan pengalaman menontonnya berbaloi.
Cuma, jika dibandingkan dengan impak filem pertama yang memperkenalkan The Further sebagai sesuatu yang benar-benar misteri dan mengerikan, Out of the Further jelas tidak mampu mencipta kejutan pada tahap sama.
Pada akhirnya, Insidious: Out of the Further ialah filem seram yang tahu resipi yang disukai peminatnya tetapi terlalu selesa mengulang bahan yang sama. Masih menderas adrenalin, namun bukan antara horror terbaik tahun ini. – HIBGLAM
