Qistina Raisah tak kesal dibuang sekolah

Demi rasa cinta terhadap bidang lakonan, pelakon Qistina Raisah tidak pernah menyesal pernah dibuang sekolah sejak berusia tujuh tahun (darjah satu) dan hanya menjalani pembelajaran di rumah (homeschooling) sahaja.

Malah, pelakon yang kini berusia 14 tahun itu menganggap, perjalanan hidup dan rezekinya sudah pun diatur cantik oleh Allah SWT, walaupun perlu bekerja sejak kecil lagi.

Menurut Qistina atau nama lengkapnya Nur Qistina Raisah Mohd. Kamarol Azri, ketika berada di darjah satu, dia pernah mengikuti sesi persekolahan seperti biasa, namun hanya selama 10 hari sahaja sebelum dibuang sekolah.

“Saya pernah ke sekolah selama 10 hari sahaja ketika darjah satu. Selepas itu saya dibuang sekolah sebab selalu tak datang,” ujarnya kepada HibGlam.

Ujar Qistina lagi, dia kerap tidak hadir ke sekolah kerana terlalu sibuk menjalani penggambaran drama termasuk program televisyen.

Sejak itu, anak bongsu daripada lima beradik itu mula beralih kepada sistem pembelajaran di rumah (homeschooling) mengikut jadual waktunya sendiri.

“Jadi, saya hanya belajar di rumah sejak berusia tujuh tahun lagi sampai sekarang.

“Cikgu akan datang ke rumah mengikut jadual saya. Satu sesi akan mengambil masa antara empat hingga ke lima jam,” katanya.

Selain mempelajari subjek asas, pelakon drama Camelia itu juga kelas bahasa seperti bahasa Mandarin dan juga muzik (gitar) selain akan mendaftar untuk mengikuti kelas menembak pada masa akan datang.

Walaupun pernah bercita-cita untuk melanjutkan pengajian sehingga ke luar negara semasa kecil, Qistina kini bangga apabila dapat mencipta kejayaan sendiri pada usia muda.

“Ada orang sudah belajar tinggi-tinggi pun, belum tentu boleh berjaya. Jadi, saya pada usia muda sudah bina karier dan nama dalam bidang seni, jadi saya teruskan sahaja,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok