‘Saya bergelut, banyak berkorban, awak rasa berbaloi tak?’

AKUR berada di tempat ketiga dalam program Kilauan Emas Selebriti 2026, pelakon Zila Bakarin bagaimanapun mempersoalkan tiada sebarang wang tunai atau habuan disediakan buat pemenang musim ini.

Menurut Zila atau nama sebenarnya Rosmawati Bakarin, 51, perkara tersebut amat mengejutkannya kerana penganjuran musim terdahulu menawarkan hadiah bernilai puluhan ribu ringgit, berbeza dengan edisi kali ini yang dianggapnya agak hambar dari sudut ganjaran.

“Saya tak kisah pun nombor berapa, bukan dapat duit pun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya sangat terkejut sebab dari awal saya tak tahu hadiah apa. Musim sebelum ini boleh menang sampai berpuluh ribu, tapi kali ini tiada apa.

“Memang kita masuk ini dikira amal jariah tapi jangan lah begitu,” katanya kepada HibGlam usai program Kilauan Emas Selebriti 2026, semalam.

Terikat dengan komitmen pertandingan, pelakon filem Syaitan Munafik itu mengakui terpaksa berehat daripada sebarang penggambaran demi memberi tumpuan penuh, sekali gus menjejaskan punca pendapatan lain.

“Kalau nak cerita fasal amal jariah, kami peserta yang perlukan. Berapa lama saya tak menjalani penggambaran sepanjang dalam program ini.

Saya bergelut, penat dan banyak sangat perkara yang kita korbankan. Kalau awak di tempat saya, awak rasa berbaloi tak?,” luahnya lagi.

Meskipun meluahkan rasa tidak puas hati terhadap ganjaran, Zila tetap melakukan tugasan pertandingan dengan penuh ikhlas kerana Allah, keluarga serta peminat setia.

Bukan saya tak bersyukur dengan jalan yang diberikan tapi kalau betul program amal jariah tak perlu ada kedudukan nombor untuk kami para perserta.

“Setiap minggu saya buat kerana Allah, keluarga dan peminat. Saya pun tak sangka saya boleh buat sampai dapat tempat ketiga,” ujarnya.

Semalam, Datuk Jalaluddin Hassan diumumkan sebagai pemenang Kilauan Emas Selebriti 2026 manakala Datuk Ahmad Tamimi Siregar menduduki tempat kedua.

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Zila dan diikuti Fazlina Ahmad Daud, Amyza Aznan dan Rahhim Omar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok