’82 peratus struktur Gaza musnah, 1.98 juta penduduk perlukan tempat berlindung’

TERUS lantang menyuarakan keprihatinan, aktres Hollywood, Angelina Jolie berkongsi foto keadaan sebelum dan selepas bumi Palestin dibedil rejim Zionis sekali gus mengutuk konflik yang tidak berkesudahan.

Jolie berkata, kemusnahan di Gaza dapat dilihat dengan jelas menerusi paparan Google Earth di beberapa kawasan seperti Rafah, Gaza dan Khan Yunis yang menunjukkan Palestin seperti ‘bumi rata’ tanpa sebarang pembangunan akibat perang.

“Seluruh kawasan kejiranan telah berubah menjadi timbunan runtuhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rumah, sekolah, universiti, hospital, jalan raya, sistem bekalan air dan infrastruktur yang menjadi tempat kebergantungan penduduk untuk meneruskan kehidupan telah rosak atau musnah,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Katanya, analisis satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati sebanyak 82 peratus struktur di Gaza mengalami kerosakan setakat 16 Jun 2026.

“Google Earth menunjukkan kemusnahan fizikal itu dengan jelas dan luar biasa.

“Namun, situasi yang tidak dapat ditunjukkan ialah bagaimana rasanya hidup dalam keadaan kemusnahan, kehidupan keluarga yang terbunuh akibat peperangan dan bagaimana kehidupan mereka yang masih terselamat.

“Apa yang berlaku selepas ini amat penting. 1.98 juta penduduk Gaza memerlukan tempat perlindungan sebelum musim sejuk,” katanya lagi.

Tambah Jolie, bantuan segera perlu dihulurkan kepada penduduk yang masih terselamat termasuk makanan dan fasiliti.

“Bantuan kemanusiaan perlu disalurkan kepada orang awam pada skala yang diperlukan.

“Hospital memerlukan bekalan perubatan. Keadaan yang membolehkan orang awam membina semula rumah, sekolah, hospital dan komuniti mereka juga perlu diwujudkan.

“Kemusnahan itu dapat dilihat. Keperluan mereka juga perlu dikenal pasti dan dipenuhi untuk penduduk yang masih terselamat,” ujarnya.

Pada Januari lalu, dia turut. mengunjungi pintu sempadan Rafah di Mesir dan berbincang dengan anggota-anggota Bulan Sabit Merah serta pemandu lori yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, demikian menurut wartawan AFP.

Jolie yang merupakan antara tokoh paling ikonik Hollywood, meletakkan jawatan sebagai utusan khas agensi pelarian PBB pada akhir 2022 selepas lebih 20 tahun berkhidmat dengan menyatakan hasrat untuk memberi tumpuan kepada isu kemanusiaan yang lebih meluas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok