Hafiz Suip bertindak memuat naik gambar menjalani latihan kecergasan di gimnasium sebagai peringatan kepada orang ramai agar menoktahkan fitnah berhubung perubahan fizikalnya yang semakin kurus.
Hantaran menerusi Instagram miliknya itu secara tidak langsung membuktikan penyanyi berusia 34 tahun terbabit sebenarnya menjalani kehidupan sihat dengan melalui proses sama seperti insan lain.
“Saja nak kongsi gambar yang aku ambil dalam Facebook jurulatih aku. Nak kurus kena usaha, bukan sekadar ‘berjakok’ (bercakap) dalam media sosial, menyebar fitnah secara tidak sedar,” tulisnya.
Jelas pelantun Awan Nano itu lagi, dia lebih selesa menyembunyikan segala kesakitan dan kepahitan yang dialami tanpa meraih simpati.
“Aku bukan seorang yang megah dengan apa yang aku ada. Syukur atas apa yang Allah SWT beri. Kesakitan atau pahit yang dialami usah diraih simpati, bahkan berdiam diri dan bersembunyi. Biar kebaikan dan manis saja disaji,” tulisnya.
Menerusi gambar yang dikongsi itu, dapat dilihat bentuk badan Hafiz yang berotot hasil menjalani latihan di gimnasium bersama jurulatihnya.
Meninjau ruangan komen, rata-rata peminat memberikan kata-kata semangat kepada Hafiz dan teruja dengan kesungguhan yang ditunjukkan penyanyi itu bagi mengekalkan kesihatan.
“Terbaik Hafiz. Teruskan berusaha,” ujar seorang peminatnya.
“Alhamdulillah, semakin ‘sado’. Semoga dipermudahkan urusan,” komen seorang lagi peminatnya.
Sejak dua tahun lalu anak jati Kuching, Sarawak itu menjadi perhatian peminat yang rata-rata bimbang apabila sosok fizikalnya kelihatan semakin kurus.
Lebih merisaukan peminat apabila Hafiz memuat naik status permohonan maaf atas segala kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini di Instagram.
Hafiz bagaimanapun berkata, dia berada dalam keadaan baik-baik sahaja dan telah berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. – HIBGLAM