LEBIH 3,000 jemaah membanjiri Masjid Habib, Tanjung Tokong bagi menyemarakkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW menerusi majlis Maulid Akbar Bukit Bendera Berselawat yang berlangsung Ahad lalu.
Program anjuran Pertubuhan Ummah Malaysia (PUMA) dengan kerjasama Masjid Habib dan Yayasan Restu itu menghimpunkan masyarakat setempat, dan para jemaah dari sekitar Pulau Pinang dan negeri-negeri lain dalam sebuah majlis yang dipenuhi selawat, bacaan maulid, tausiah dan ukhuwah kemasyarakatan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid sebagai Jemputan Khas, yang menyampaikan tausiah dan pengisian kepada para jemaah.
Kumpulan qasidah Angham Anisah yang dipimpin oleh Ustaz Ibrahim Al-Ansari dan Gus Husaini turut menghidupkan suasana majlis dengan alunan bacaan maulid dan qasidah penuh mahabbah kepada Rasulullah SAW.
Program dimulakan dengan Perarakan Maulid sebelum para jemaah berhimpun di Masjid Habib untuk bersama-sama mengikuti bacaan Wirdul Latif, solat Maghrib berjemaah, bacaan Maulid Dhiya’ul Lami’, alunan qasidah serta pengisian agama sebelum ditutup dengan solat Isyak berjamaah dan jamuan rakyat.
Menurut presiden Pertubuhan Ummah Malaysia, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, penganjuran Maulid Akbar Bukit Bendera Berselawat bukan sekadar sebuah majlis memperingati kelahiran Rasulullah SAW, tetapi merupakan usaha untuk menghidupkan budaya selawat dan menyuburkan kecintaan kepada Baginda dalam kehidupan masyarakat.
“Kita mahu masyarakat bukan sahaja mengenali Rasulullah SAW, tetapi mencintai Baginda, memperbanyakkan selawat dan menjadikan akhlak serta sunnah Baginda sebagai panduan dalam kehidupan,” katanya.
Tambahnya, program tersebut turut menjadi wadah untuk memperkukuhkan ukhuwah dan menyatukan masyarakat melalui majlis ilmu, selawat serta semangat persaudaraan.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima di luar jangkaan. Pada mulanya kita sasar 2000 jemaah, tetapi yang hadir melebihi 3000. Kehadiran yang begitu memberangsangkan membuktikan bahawa kecintaan kepada Rasulullah SAW mampu menyatukan hati dan menjadi titik temu seluruh umat,” jelasnya.
Ujarnya lagi, program tersebut tidak mungkin dapat dilansungkan dengan lancar dan jaya tanpa sokongan semua pihak yang terlibat terutamanya Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
“Terima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Masjid Habib, Yayasan Restu, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, kumpulan qasidah Angham Anisah, keluarga besar Bukit Bendera, para penaja, pihak berkuasa, sukarelawan, petugas serta seluruh para jemaah dan hadirin yang hadir, yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
“Kami mendapat banyak maklum balas positif termasuklah dari negeri lain tentang program ini. Kami berharap penganjuran program seperti ini dapat diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan penghayatan Islam dalam kalangan semua lapisan masyarakat, khususnya generasi muda di Pulau Pinang.
“Maulid Akbar Bukit Bendera Berselawat diharapkan menjadi satu titik permulaan kepada lebih banyak program yang membawa masyarakat mendekati Rasulullah SAW melalui selawat, ilmu, akhlak dan ukhuwah,” ujarnya. – HIBGLAM

