Tun M jadi inspirasi, buku tulisan anak Malaysia terjual di 35 buah negara

 

PENULIS buku kelahiran Malaysia, Datuk Dr Zairita Azlin mengharumkan nama negara apabila buku tulisannya yang berjudul She Chose To Rise : A Journey Of Faith berjaya dipasarkan di 35 buah negara.

Diterbitkan oleh syarikat penerbitan dari United Kingdom, buku tersebut kini sudah terjual sebanyak 2,000 naskhah menerusi laman jualan dalam talian terkemuka, Amazon.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelancaran buku ini disempurnakan oleh Presiden Pertubuhan Pusat Data Usahawan dan Ekosistem Malaysia (MEEDC), Tengku Khairul Adena Almarhum Tengku Abdullah dalam sebuah majlis yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Zairita, buku ini menceritakan perjalanan hidupnya sebagai seorang wanita yang pernah melalui titik terendah dalam hidupnya yang kemudian bangkit menjadi usahawan berjaya.

“Saya tulis buku ini berdasarkan perjalanan hidup saya. Saya pernah lalui kegagalan rumah tangga. Membesarkan anak-anak sebagai ibu tunggal.

“Saya jatuh dan bangun berkali-kali. Saya percaya ramai yang melalui fasa yang sama tak kira lelaki atau perempuan.

“Apa yang saya mahu ceritakan dalam buku ini adalah, dalam hidup ini tiada jalan pintas. Jika kita jatuh, kita bangun. Jika kita jatuh lagi, kita bangun lagi.

“Kita bukan perlukan tangan untuk kita kembali bangkit, tetapi perlukan kata-kata semangat dan dorongan,” katanya kepada Hibglam.

Tambahnya lagi, ramai wanita yang terkesan selepas membaca buku ini yang turut mendapat restu dan dorongan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sebenarnya orang yang paling saya sanjungi dan kagumi yang selalu berada di hati saya ialah Tun Dr Mahathir Mohamad. Bukan kerana beliau ialah seorang ahli politik, tetapi kerana dia membawa Malaysia ke mata dunia.

Beliau ialah inspirasi untuk saya juga membawa nama Malaysia di mata dunia,” jelasnya.

Zairita baru-baru ini juga mencatat pencapaian penting di peringkat antarabangsa apabila muncul sebagai warga Malaysia pertama yang dinobatkan “She For The Nation – Season 2” di kediaman Perdana Menteri Sri Lanka (Temple Trees), Colombo. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok