PROGRAM Geng Ngaji baru-baru ini kembali tular apabila Nadhir Nasar muncul sebagai selebriti jemputan bagi mengalunkan ayat suci al-Quran.
Dalam program tersebut, Nadhir membaca ayat 88 dalam surah al-Ma’idah yang dipantau oleh barisan pengacara atau panel iaitu Fakhrul Radhi, Farhatul Fairuzah dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.
Lucunya, kemunculan Nadhir dalam Geng Ngaji tahun ini mengingatkan semula barisan pengacara program tersebut kepada momen lucu ketika pelakon itu pertama kali menjadi tetamu program sekitar 2021.
Sekitar tahun 2021, Nadhir diminta membaca dua kalimah pada ayat al-Quran yang dialunkannya tetapi kerana salah faham, aktor berkenaan melafazkan dua kalimah syahadah.
Insiden tersebut mencetuskan rasa lucu selain videonya tular sehingga ke hari ini.
Bagaimanapun, rata-rata netizen menyifatkan bacaan Nadhir pada tahun ini semakin tenang dan teratur mengikut tajwid yang tepat.