DEMI menghormati insan tersayang, pelakon Nadhir Nasar memilih untuk tidak berkongsi secara terbuka kisah peribadinya.
Nadhir atau nama penuhnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 30, berkata, dia lebih selesa mengekalkan batasan antara kerjaya seni dan kehidupan peribadi demi kebaikan orang sekeliling.
“Saya memang kurang berkongsi hal peribadi dalam media sosial. Saya ada gelembung (bubble) sendiri yang disimpan untuk diri sendiri dan keluarga.
Selalunya saya hanya tunjuk apa yang saya mahu orang nampak sebab kita perlu jaga privasi mereka juga.
“Lagipun, nasi lemak kalau sudah terbuka siapa lagi nak beli kan?,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis perkenalan filem Pemuja Syaitan, baru-baru ini.
Selain itu, pelakon drama Projek: High Council itu memaklumkan jadual kerjayanya kini padat malah rancak melakukan persiapan penggambaran filem terbaharu yang dijadualkan bakal ditayangkan tahun depan.
“Saya akan masuk set penggambaran baharu minggu depan. Saya banyak luangkan masa dengan keluarga dan itu sudah cukup.
Kalau nak cerita tentang ‘me-time’, umur 45 tahun nanti baru fikir, sekarang saya tengah buat persiapan untuk filem baharu yang akan tayang tahun depan,” katanya lagi.
Bercakap mengenai filem Pemuja Syaitan, Nadhir mengambil inisiatif sendiri demi memastikan wataknya kelihatan lebih hidup dan bertenaga walaupun berdepan cabaran gangguan cuaca.
“Meskipun tiada gangguan mistik secara langsung, namun ‘kehadiran’ tenaga di bangunan itu tetap dirasai.
Demi watak Nazim, saya mengambil inisiatif belajar teknik akrobatik sendiri kerana sudah lama mengimpikan aksi sedemikian di skrin besar.
“Cabaran besar yang saya boleh katakan adalah cuaca yang tidak menentu. Kadang-kadang malam kita nak teruskan penggambaran tapi tiba-tiba hujan, kita kena anjak,” kongsinya.
Selain Nadhir, Pemuja Syaitan turut dibintangi Zul Ariffin, Elizabeth Tan dan Aila Azizul.
Filem terbitan Mermaid Studio itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 15 Oktober depan. – HIBGLAM

