PELAKON Nadhir Nasar tidak akan sesekali mengenepikan tawaran lakonan dalam mana-mana drama terutama di televisyen semata-mata untuk memberi fokus terhadap filem atau naskhah terbitan platform penstriman (OTT).
Menurut Nadhir, 30, drama disifatkan sebagai platform yang mampu mencungkil dan mencari sisi lain dalam lakonan.
“Saya tidak akan tinggalkan drama sebab sangat menyukainya.
“Filem memang tempat untuk kalian mencipta sesuatu tetapi drama pula platform mengasah lagi bakat lakonan yang boleh dibawa ke dalam filem atau karya layar lebar.
“Saya gembira apabila diberi peluang terlibat dengan mana-mana projek drama terutama melihat ibu saya gembira melihat lakonan anaknya di televisyen setiap malam,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan perdana filem Chelot lakonannya di sini, semalam.
“Drama sangat penting untuk kerjaya saya, sebab ramai mak cik-mak cik yang jerit ‘Nadhir! Nadhir’ sebab menonton drama lakonan saya. Mereka nak tengok saya pakai baju kemeja berbanding penampilan dalam filem.
“Ramai peminat saya yang menonton drama dan ketika ini pun sedang terlibat dengan penggambaran sebuah drama yang dijangka ditayangkan pada bulan Oktober nanti,” ujarnya
Mengulas mengenai segelintir pelakon baharu yang hanya memilih untuk berlakon filem dan OTT, dia berkata perkara tersebut adalah pilihan masing-masing mengatur perjalanan kerjaya seni.
“Bagi saya, itu adalah pilihan dan rezeki masing-masing. Saya pula terima kalau naskhah dari drama, filem atau OTT itu bagus dan kena dengan diri saya.
“Kalau sekadar nak buat filem tetapi tak kena dengan karakter kita, untuk apa? Sebab ada ramai pelakon di luar sana yang boleh memainkan karakter itu dengan lebih baik.
“Jadi saya rasa, setiap pelakon mempunyai pilihan dan rezeki untuk memilih di mana mereka mahu berkarya,” jelasnya.
Terbaharu, peminat bakal berpeluang menonton lakonannya dalam Chelot arahan Adrian Teh yanf turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Shaheizy Sam, Shukri Yahaya, Alicia Amin dan Azhan Rani.
Chelot yang akan ditayangkan bermula 27 Ogos ini menghidangkan aksi mendebarkan menerusi kisah berkaitan kepolisan dan isu sindiket penyeludupan senjata. – HIBGLAM
