NADHIR Nasar antara aktor muda yang berjaya menempatkan diri dalam dunia hiburan tempatan.
Lahir daripada pertandingan Hero Remaja 2020, dia boleh dikatakan antara pelapis muda yang laris membintangi filem dan drama tanah air selain dberi peluang bergandingan dengan pelakon papan atas dalam beberapa naskhah ‘box office’ tempatan.
Sering dipasangkan dengan bintang gred A, dia menyifatkan perkara tersebut adalah peluang keemasan dalam kerjayanya, namun pada masa sama bertegas tidak pernah berasakan dirinya berada dalam kategori sama.
Saya tidak pernah meletakkan diri dalam kategori pelakon gred A. Semua itu hanya orang yang boleh label.
“Tidak boleh puji atau label diri sendiri begitu sebaliknya orang ramai yang memberikannya.
“Perjalanan saya masih panjang untuk layak digelar sebagai bintang gred A, terlalu mentah, baru setahun jagung dalam industri ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Ujar pemilik nama penuh Ahmad Nadhir Ahmad Nasar itu, terlalu banyak kelemahan diri yang perlu diperbaiki untuk berada dalam liga pelakon gred A seperti Beto Kusyairy dan Bront Palarae.
“Saya baru lima tahun dalam industri selepas Hero Remaja 2020. Ada banyak lagi yang saya perlu perbaiki dan pelajari.
“Cuma saya bersyukur dengan perjalanan seni sendiri, semua ini rezeki yang bukan hanya sekadar kemahiran berlakon sahaja.
“Rezeki ini juga hadir dengan pelbagai cara termasuk cara komunikasi, sosial dengan individu sekeliling dan disiplin.
Banyak faktor yang membuatkan seseorang iu berjaya tersenarai dalam sesebuah naskhah,” ujarnya.
Tambah aktor berusia 30 tahun itu, kerja keras juga menjadi faktor penting yang membawa namanya ke tahap sekarang.
“Alhamdulillah kerja keras membuahkan hasil. Untuk berada di posisi ini, bukan mudah.
“Saya belajar dan kerja keras setiap hari untuk menjadi lebih baik,” tuturnya.
Dalam pada itu, dia juga memberitahu kerap menerima nasihat daripada artis senior agar sentiasa membumi dan tidak mudah lupa diri jika berada di puncak kerjaya.
“Sepanjang saya jadi anak seni, antara nasihat terbaik pernah diterima ialah kekal merendah diri dan sentiasa berpijak di bumi nyata.
“Apapun, saya masih anggap perjalanan saya masih baru dan semoga dapat terus berkarya sebagai anak wayang,” jelasnya.
Chelot
Berkongsi mengenai filem terbaharu arahan Adrian Teh yang dibintanginya iaitu Chelot, dia terbuka untuk menerima watak sebagai Chacko disebabkan plot yang menarik dan memberi impak kepada jalan cerita.
“Saya terima selepas Adrian beritahu Chacko membawa perubahan terhadap plot-plot di dalam Chelot walaupun bukan watak utama.
“Kemudian bila dimaklumkan akan bergandingan dengan Beto, Shaheizy Sam, Syukri Yahaya dan Azhan Rani, memang saya terus setuju,” jelasnya.

Ujarnya, dia tidak kisah melakukan sebarang perubahan pada fizikal bagi memenuhi tuntutan watak.
Perkara tersebut yang dilakukannya apabila sanggup mencukur dan mewarnakan rambut demi Chelot.
“Adrian nak imej botak, saya lakukan. Dia mahu rambut saya warna jingga, saya buat.
“Saya seorang pelakon dan akan lakukan apa sahaja untuk sesuatu watak, malah lebih suka kalau karakter itu tidak nampak seperti diri sendiri.
“Saya okey untuk lakukannya dan syukur respons orang ramai sangat positif,” ujarnya lagi.
Bagi Nadhir, Chelot menjadi naskhah pertama yang memberinya peluang menggunakan senjata api sebenar dan perlu menjalani latihan selama sebulan bagi memahirkan diri termasuk cara menembak.
“Ini kali pertama saya pegang senapang yang pada mulanya saya sangka replika.
Dalam tempoh sebulan, kami buat semua latihan memegang senapang. Satu pengalaman hebat terutama berpeluang melakukannya dengan pelakon senior lain,” akhirinya.
