MESKIPUN sudah lebih 25 tahun berkecimpung dalam dunia seni suara tanah air, penyanyi Dayang Nurfaizah tetapi masih belum mempunyai keyakinan untuk mengadakan konsert mega solo atas beberapa faktor termasuk enggan mengkhianati peminat.
Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, berkata, sekiranya diberi peluang mengadakan konsert besar-besaran, dia enggan mensia-siakan kepercayaan tersebut seperti melepaskan batuk di tangga.
“Saya tak nak buat sekadar ala kadar demi nak tunjuk boleh buat konsert, no.
Saya sendiri meyakinkan, memujuk diri sendiri sebab konsert ini bagi saya, kalau nak buat, memang kena betul-betul.
“Dalam kepala, ada imaginasi nak macam mana dari segi pentas, visual dan susunan muzik dan sebagai—semuanya dah ada dalam gambaran imaginasi saya.
“Bukan nak cakap terlalu lain daripada lain tapi rujukan saya semestinya artis luar negara. Tapi itulah, susah nak cari orang yang betul-betul faham sebab benda ini melibatkan kos, produksi, bunyi dan sebagainya,” jelasnya kepada Kosmo Online usai showcase Janji With Dayang (Penang).
Dayang yang mula dikenali menerusi single Hakikat Cinta 27 tahun lalu berkata, dia ingin memastikan peminat mampu hadir ke konsert sekiranya konsert solo meganya menjadi kenyataan suatu hari nanti.
Dia tidak mahu kehendaknya menginginkan produksi konsert yang megah mengakibatkan para peminat rasa terbeban dari segi kewangan. Itu antara yang paling utama.
“Kalau boleh nak mereka (peminat) berseronok—semua boleh datang. Itulah banyak benda yang perlu dipertimbangkan. Tak nak mereka terbeban beli tiket apa semua.
Susah nak cari orang yang faham (sekepala)—sanggup keluarkan kos. Kalau ada bajet, nak fokuskan dari segi kepedulian muzik itu sendiri,” katanya.
Mengambil contoh, Dayang sangat berpuas hati dengan pelaksanaan showcase Janji With Dayang (Penang) di Top View @ The Top, Komtar, di sini semalam.
“Pertama kali buat kerja begini. Menyanyi di tingkat paling tinggi Komtar dengan tidak berbumbung (rooftop). Alhamdulillah, cuaca sangat mengizinkan, penonton yang hadir pun seronok dan muzik pun sedap. Ini yang saya nak.
“Showcase kecil sahaja tapi berlangsung seperti apa yang saya gambarkan. Mula-mula takut juga kot tengah nyanyi hujan.
Tapi dah rancang kalau hujan, show must go on. Saya akan terus nyanyi tapi kalau lebat sangat berhenti seketika sampailah cuaca reda,” katanya.
Mendendangkan kesemua lagu dari album baharu, Janji yang memuatkan karya seperti Lemah, Mungkin Ke? dan Esok Lusa Selamanya, Dayang turut menyanyikan lagu lamanya seperti Dayang Sayang Kami dan Mana Mungkin.
Dianjurkan bersama Usanita Entertainment dan Mask Team, Janji With Dayang akan diteruskan di Kuala Lumpur pada 27 Sep 2025 bertempat di Tower Terrance, Kuala Lumpur Tower.
Tiket boleh dibeli secara online: https://www.ticket2u.com.my/event/44414/janji-with-dayang-(kuala-lumpur). – HIBGLAM