RM253 juta bukti filem tempatan semakin ‘berbisa’ – Fahmi Fadzil

INDUSTRI perfileman tempatan terus mencatat perkembangan sihat apabila kutipan menerusi Skim Wajib Tayang melonjak lebih dua kali ganda kepada RM253.31 juta pada 2025 berbanding RM125.28 juta tahun sebelumnya.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, peningkatan itu menunjukkan karya tempatan semakin mendapat kepercayaan penonton hasil penyediaan kandungan berkualiti yang mampu bersaing dengan filem antarabangsa.

“Prestasi ditunjukkan amat membanggakan kerana menunjukkan penonton Malaysia mempunyai keyakinan terhadap hasil karya tempatan. Apabila kita menawarkan kandungan berkualiti, kompetitif dan dekat di hati, penonton akan terus memberikan sokongan.

Peningkatan ini juga membuktikan filem lokal mempunyai kekuatan tersendiri, sekali gus mampu menarik penonton ke pawagam.

“Paling penting, kita perlu terus memastikan mutu kandungan dipertingkatkan supaya momentum ini dapat dikekalkan dan industri filem tempatan terus berkembang,” katanya selepas majlis perasmian Menara Finas Damansara, semalam.

Bagi pencapaian tahun 2026, Fahmi berkata, kutipan menerusi Skim Wajib Tayang setakat 10 Ogos lalu sudah mencecah angka RM111.83 juta.

Katanya, tahun lalu menyaksikan Blood Brothers: Bara Naga muncul sebagai filem dengan kutipan tertinggi di bawah Skim Wajib Tayang apabila meraih RM73.6 juta, manakala filem animasi Papa Zola The Movie mencatat RM63.8 juta.

Kejayaan Blood Brothers: Bara Naga dan Papa Zola The Movie yang datang daripada dua genre berbeza membawa mesej yang sangat jelas bahawa kita perlu kita manfaatkan dan memperkukuh lagi industri perfileman negara,” ujarnya.

Fahmi berkata, setakat ini lima filem tempatan bagi 2026 yang melepasi kutipan RM10 juta adalah Ah Beng vs Liang Po Po, Malaikat Malam, Libang Libu, Tarung: Unforgiven serta Polong.

Manakala jumlah naskhah yang ditayangkan menerusi Skim Wajib Tayang turut meningkat daripada 58 filem pada 2024 kepada 71 filem pada 2025, manakala 31 filem direkodkan setakat 2 Julai lalu bagi tahun ini.

Sementara itu, katanya sebanyak 80 filem pula disasarkan untuk ditayangkan menerusi skim berkenaan bagi tayangan musim 2027.

Tambah Fahmi, dari segi angka tontonan, khalayak filem tempatan turut melonjak daripada 5.87 juta orang pada 2023 kepada 7.14 juta pada 2024 sebelum meningkat hampir dua kali ganda iaitu 14.83 juta penonton tahun lalu.

Jumlah berkenaan masing-masing menyumbang 16.8 peratus, 21.9 peratus dan 36.5 peratus daripada keseluruhan penonton pawagam bagi tahun terbabit.

Bagi 2026, setakat Julai sahaja, jumlah penonton filem tempatan telah mencapai 6,099,245 orang. Angka ini menunjukkan penerimaan terhadap karya tempatan terus berada pada tahap yang baik.

“Kita mahu peningkatan ini bukan sekadar berlaku dari sudut kutipan dan jumlah penonton, tetapi turut memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem industri, termasuk penerbit, pengarah, pelakon, kru, pawagam dan semua pihak yang terlibat dalam rantaian penghasilan sesebuah karya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) juga mencatat peningkatan apabila merekodkan RM130.08 juta pada 2024, RM303.04 juta pada 2025 dan RM524.62 juta berdasarkan data semasa 2026.

Secara keseluruhan, hampir RM958 juta pelaburan produksi serta 12,823 peluang pekerjaan direkodkan menerusi FIMI sepanjang tempoh 2024 hingga 2026.

Fahmi berkata, pencapaian itu membuktikan insentif yang disediakan kerajaan mampu merangsang aktiviti produksi selain membuka lebih banyak peluang ekonomi dalam industri kreatif.

“Kerajaan melihat industri filem bukan hanya daripada sudut hiburan, malah juga sebagai satu sektor ekonomi kreatif yang mampu menjana pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Sebab itu kita terus memberi perhatian kepada FIMI. Hampir RM958 juta pelaburan produksi dan 12,823 peluang pekerjaan dalam tempoh 2024 hingga 2026 merupakan angka yang sangat signifikan dan menunjukkan industri ini mempunyai potensi ekonomi yang besar,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan turut mengumumkan peruntukan RM300 juta bagi meneruskan FIMI untuk tempoh lima tahun ketika FILMART 2026 di Hong Kong.

Penyertaan sulung negara di Annecy International Animation Film Festival and Market (MIFA) 2026 juga menghasilkan nilai pelaburan RM249.2 juta, jauh mengatasi sasaran awal RM100 juta.

“Ini menunjukkan apabila kita membawa karya, bakat dan industri kreatif Malaysia ke pasaran antarabangsa, terdapat keyakinan serta minat yang besar terhadap potensi yang kita tawarkan,” katanya.

Dalam pada itu, sokongan kepada penggiat industri turut diperluas menerusi Dana STAR yang memberi ruang kepada bakat veteran untuk kembali berkarya bersama generasi baharu.

Dana STAR memberi ruang kepada bakat veteran untuk kembali berkarya bersama generasi baharu. Kita tidak mahu pengalaman dan kepakaran yang telah dibina selama puluhan tahun terhenti begitu sahaja.

“Pada masa sama, Dana Penyertaan dan Promosi Antarabangsa atau DPPA membantu karya dan penggiat menyertai festival, sesi pitching serta pasaran antarabangsa, manakala First Time Amateur Filmmaker atau FAME pula membuka peluang kepada pembikin filem baharu untuk mengembangkan bakat dan menembusi pasaran,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok