‘Masa kunjungan di Brazil, Carlos ucap syahadah dan pilih Islam’

BERITA legenda bola sepak Brazil Roberto Carlos, memeluk agama Islam heboh diperkatakan sejak semalam, namun personaliti popular itu masih belum memberikan sebarang komen.

Dakwaan tersebut mula menjadi perhatian selepas seorang tokoh politik Turkiye, Ali Şahin, berkongsi mengenai perkara itu menerusi hantaran di media sosial.

Menurutnya, Carlos, 53, yang dikatakan mengucapkan dua kalimah syahadah kira-kira empat minggu lalu bertemu
wakil komuniti Islam di Brazil termasuk Sheikh Jihad Hammadeh kediaman tokoh terbabit di Sao Paulo, Brazil.

Dalam pertemuan itu, Sheikh Jihad juga antara 500 tokoh paling berpengaruh dalam dunia Islam dan aktif dalam komuniti Islam di Brazil dilaporkan memaklumkan Carlos sudah lama berhubung dengannya sebelum mengunjunginya empat minggu lalu.

“Semasa kunjungan itu, Roberto Carlos mengucapkan syahadah dan memilih Islam,” tulis hantaran tersebut.

Saya ucapkan tahniah kepada Roberto Carlos kerana mendapat hidayah Islam dan mendoakan dia serta keluarganya dikurniakan kehidupan penuh kedamaian, kesihatan dan keberkatan,” tulisnya.

Bagaimanapun, dakwaan memeluk Islam itu setakat ini hanya bersumberkan kenyataan pihak terbabit dan belum disertakan pengesahan rasmi daripada pihak Carlos sendiri.

Carlos merupakan antara pemain pertahanan paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak dunia dan pernah mencipta nama bersama Real Madrid serta skuad kebangsaan Brazil.

Selain itu, bekas pemain yang terkenal dengan sepakan kencangnya turut pernah menyarung jersi kelab Turkiye, Fenerbahçe.

Sepanjang karier bersama Real Madrid, dia membantu kelab gergasi Sepanyol itu memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara selain meraih pelbagai kejuaraan domestik.

Carlos turut menjadi sebahagian daripada skuad Brazil yang menjulang Piala Dunia 2002.

Terdahulu, laporan pengislaman itu muncul ketika gambar majlis perkahwinannya dengan wanita Maghribi, Souhaila Tahiri, kembali tular.

Souhaila merupakan ejen pemain berlesen FIFA yang terlibat dalam pengurusan pemain serta pelbagai projek berkaitan bola sepak.

Maklumat mengenai hubungan mereka mula muncul seawal tahun ini sebelum pasangan terbabit mengadakan majlis kecil yang hanya dihadiri keluarga dan rakan rapat pada 25 Julai 2026.

Laporan menyebut hubungan pasangan terbabit bermula secara profesional sebelum berkembang menjadi hal peribadi.

Personaliti sukan kelahiran Sao Paolo itu mempunyai 11 anak serta beberapa cucu hasil hubungannya dengan tujuh wanita termasuk bersama dua bekas isteri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok