JABATAN Polis Greenville Amerika Syarikat mengesahkan tiada unsur jenayah dalam siasatan awal membabitkan kematian pelakon terkenal, Hayden Panettiere yang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah pangsapuri di South Carolina, Amerika Syarikat, Ahad lalu.
Pihak berkuasa dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan kecemasan bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan berkenaan insiden serangan jantung membabitkan seorang wanita.
Katanya, usaha bantuan dilakukan termasuk menjalankan prosedur sokongan hayat jantung lanjutan gagal menyelamatkan mangsa sebelum dia disahkan meninggal dunia pada pukul 2.32 petang (waktu tempatan).
Mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Hayden Panettiere, 36, manakala seorang kenalan dilaporkan menghubungi talian kecemasan 911 sebelum pukul 2 petang,” kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, sumber yang mengetahui perkembangan siasatan mendakwa serangan jantung dialami mendiang dipercayai berpunca daripada pengambilan dadah secara berlebihan.
Begitupun, spekulasi yang kini berlegar di laman sosial berkenaan pelakon drama bersiri Heroes dan Nashville
masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa.
Terdahulu, bedah siasat yang dijalankan sehari selepas mendiang meninggal dunia tidak menemukan sebarang tanda kecederaan yang mengakibatkan kepada kematian.
Punca dan cara kematian juga masih menunggu keputusan penuh bedah siasat yang dijangka mengambil masa sehingga tiga bulan.
Lebih mengejutkan, sumber turut mendakwa Panettiere berada bersama bekas kekasihnya, Brian Hickerson, 37, ketika kejadian.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada lelaki yang melakukan pelbagai pekerjaan rencam itu merupakan individu yang membuat panggilan kecemasan.
Hickerson yang jalin hubungan dengan Panettiere sekitar 2018 sebelum berpisah empat tahun kemudian pernah beberapa kali ditahan polis atas dakwaan kekasaran domestik terhadap aktres terbabit.
Berdasarkan memoir Panettiere berjudul This Is Me: A Reckoning tulisan Panettiere, mereka berkenalan di Los Angeles namun percintaan mereka sarat dengan gelombang.
Rekod mahkamah menunjukkan Hickerson pada 2021 mengaku tidak mempertikaikan dua pertuduhan feloni berkaitan mencederakan dialami wanita terbabit.
Terdahulu, Panettiere juga ibu kepada seorang anak memulakan kerjaya seni menerusi kemunculan dalam iklan pada usia 11 bulan sebelum mendapat perhatian menerusi filem Remember the Titans pada 2000.
Namanya kemudian melonjak menerusi watak Claire Bennet dalam siri Heroes dari 2006 hingga 2010, selain membintangi Nashville dari 2012 hingga 2018 selain muncul dalam filem francais seram, Scream.
Sepanjang kehidupannya, Panettiere terbuka mengenai perjuangannya berdepan masalah kesihatan mental serta penyalahgunaan alkohol dan dadah.
Dalam wawancara bersama The New York Times pada 2023, dia mendedahkan pernah melalui fasa sukar sehingga kerap bangun dalam keadaan tubuh menggigil.
Dia turut mengakui pernah mengambil ubat jenis opioid ketika tidak mengambil alkohol kerana mahu mengelakkan dirinya daripada kembali minum.
Selain itu, Panettiere pernah mendedahkan mengalami gangguan dismorfia tubuh akibat liputan media tabloid yang dianggap terlalu invasif terhadap dirinya ketika masih remaja.
Kematian Panettiere kini menjadi perhatian ramai, namun pihak berkuasa menegaskan siasatan masih berjalan selain menegaskan punca rasmi kematiannya hanya akan diketahui selepas keputusan lengkap bedah siasat diperoleh. – HIBGLAM
