‘Dalam Cela, saya ialah Datuk Anees, bukan Nabila Huda’

SEDAR adegan mesra dengan pelakon Hun Haqeem jadi bualan, aktres Nabila Huda menegaskan bahawa setiap interaksi fizikal dalam naskhah berkenaan dilakukan atas dasar profesionalisme dan mengikut tuntutan skrip.

Tegas Nabila atau nama penuhnya Nabila Huda Suhaimi, 41, penonton perlu membezakan antara keperibadian dirinya dengan watak Datuk Anees yang dibawakan dalam drama terbaharunya, Cela.

“Apabila melakonkan Cela saya ialah Datuk Anees, bukan Nabila Huda. Saya pasti semua penonton tahu mengenai perkara itu.

“Setiap interaksi fizikal dalam babak itu ada sebab, konteks dan arahan. Bukan saya pergi ke set suka-suka mahu sentuh anak orang, tentunya ada batasan dan kami semua profesional.

“Kami berbincang, berlatih dan tahu apa yang diperlukan dalam babak itu. Apabila kamera mula merakam, apa yang anda lihat adalah interaksi antara watak Anees dan Kaer.

“Setiap sentuhan itu mempunyai niat dan sebab di sebalik babak berkenaan,” katanya kepada HibGlam pada tayangan perdana drama berkenaan, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai gandingannya dengan Hun, pelakon filem Libang Libu itu mengakui perasaan gementar yang wujud pada peringkat awal penggambaran.

Bagaimanapun, rasa saling percaya dan keserasian yang baik antara satu sama lain memudahkan urusan mereka di lokasi penggambaran.

“Mula-mula memang rasa kekok dan gementar. Hun pun sangat gementar, tetapi apabila kami sudah memahami babak dan mengetahui batasan masing-masing, ini menjadi satu tanggungjawab kerja.

“Disebabkan kami selesa dan mempunyai kepercayaan antara satu sama lain, keserasian antara Anees dan Kaer menjadi sangat organik.

‘Bukan semata-mata fizikal, tetapi bagaimana mereka memandang satu sama lain, ketegangan serta permainan kuasa yang membuatkan hubungan itu menarik,” jelasnya.

Dalam masa sama, Nabila menceritakan tentang wataknya iaitu seorang wanita yang gemar memanipulasi keadaan tetapi tewas dengan perasaan sendiri.

“Anees seorang yang pandai memanipulasi segala-galanya, tetapi dia tidak mampu memanipulasi perasaannya terhadap Kaer. Saya fikir dia sendiri tidak sedar mengenai perkara itu kerana cinta kadangkala hadir tanpa meminta izin.

“Saya tidak melabel Anees sebagai ‘groomer’, sebaliknya seorang ‘manipulator’ kerana wujud dinamik kuasa dalam hubungannya dengan Kaer.

“Sebagai pelakon, saya tidak mendekati watak dengan satu sudut sahaja, sebaliknya cuba memahami mengapa dia melakukan perkara tersebut,” katanya lagi.

Drama Cela arahan Feroz Kader itu mengandungi 12 episod dan mula ditayangkan pada 20 Ogos 2026 menerusi platform penstriman Viu.

Cela yang mengandungi 12 episod mula ditayangkan pada 20 Ogos lalu menerusi platform penstriman Viu.

Selain Nabila dan Hun, drama tersebut turut dibintangi Datuk Seri Eizlan Yusuf, Zarif Ghazzi, Zain Saidin, Ellyza Azizi dan Lisdawati. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok