SELEPAS ‘mendunia’ dengan filem Paskal dan Malbatt: Misi Bakara, sutradara Adrian Teh sekali lagi hadir dengan naskhah aksi terbaharu, Chelot yang bakal ditayangkan bermula 27 Ogos ini.
Mengangkat tema kepolisan dan isu sindiket penyeludupan senjata api, Adrian berkata, Chelot disifatkan sebagai salah satu naskhah paling sukar untuk dihasilkannya.
Chelot memang satu daripada karya yang paling sukar pernah saya buat. Ada satu babak ‘one take’ dalam filem ini merupakan syot yang paling susah sukar.
“Filem kali ini, saya letak lebih penekanan pada jalan cerita dan drama. Sementara babak aksi pula, lebih pendek tetapi padu. Itulah yang cuba ditonjolkan menerusi Chelot.
“Chelot bukan sekadar kisah mengenai unit beruniform tetapi di sebaliknya banyak pengajaran untuk dikutip oleh penonton,” katanya.
Menelan belanja jutaan ringgit, Adrian menzahirkan penghargaan kepada setiap pelakon dan rakan bisnes yang tidak pernah gagal untuk terlibat serta yakin dengan karyanya.
“Bajet Chelot lebih rendah berbanding filem Magik Rompak iaitu sekitar RM10 juta jumlah kos yang ditelan untuk filem ini.
Terima kasih kepada rakan bisnes saya yang masih percaya dengan saya walaupun projek terakhir kami tidak capai seperti mana yang dijangkakan.
“Sebagai seorang pengarah, saya sentiasa belajar untuk jadi lebih baik agar ada penambahbaikan dalam naskhah arahan sendiri,” kongsinya.
Seperti bersaing dengan diri sendiri, dia menabur segala keringat bagi memastikan kualiti Chelot lebih baik berbanding dua filem terdahulu arahannya, Malbatt: Misi Bakara dan Paskal.
Katanya, perkara tersebut penting untuk memastikan filem yang dihasilkan berkualiti dan tidak mengecewakan mana-mana pihak.
“Saya selalu cabar diri dan kali ini, cabaran terbesar untuk memastikan Chelot lebih berjaya dari filem aksi saya yang lain.
Tanpa semua barisan pelakon dan kru, filem ini tidak akan mampu terhasil. Semua memberi kerjasama yang bagus sepanjang 51 hari proses penggambaran yang dijalankan di sekitar Lembah Klang,” jelasnya.
Sebelum itu, naskhah ini juga mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori Babak Aksi ‘Single Take’ Terpanjang Dalam Filem.

BARISAN pelakon filem Chelot termasuk Beto, Shaheizy Sam, Shukri Yahaya, Nadhir Nasar, Alicia Amin dan Azhan Rani.
Babak terbabit dirakam menggunakan satu kamera untuk babak sejauh 1.9 kilometer yang mengambil masa lima minit 19 saat selain membabitkan 300 kru dan menggunakan sebanyak 50 kereta sebagai props.
‘Kos filem tak murah’
Senada dengan barisan pelakon lain yang menyifatkan Chelot sebagai filem aksi terbaik Adrian, Beto selaku teraju utama kagum melihat karya anak tempatan yang mampu menghasilkan karya sehebat itu.
Jelasnya, segala penat lelahnya sepanjang tempoh latihan dan penggambaran terbayar selepas menonton hasil akhir di layar lebar.
“Untuk filem ini, semua pelakon perlu jalani latihan menggunakan senjata dengan pasukan Unit Tindakan Khas (UTK), tidak mudah tetapi hasilnya seperti yang kalian tonton.
Tahniah kepada Adrian kerana berjaya merealisasikan visi dan misinya untuk Chelot yang melibatkan ramai orang, masa dan keselamatan. Ini antara filem terbaik Adrian.
“Semoga kerja keras kami semua di depan dan di belakang kamera mampu menarik perhatian khalayak untuk menonton di pawagam nanti,” ujarnya yang turut bergandingan bersama Shukri Yahaya, Shaheizy Sam, Nadhir Nasar dan Alicia Amin dalam filem terbabit.
Tambah Beto yang memegang watak sebagai Azraf, Chelot bukan naskhah yang dihasilkan secara sambil lewa tetapi menuntut banyak titik peluh dan pengorbanan kru yang terlibat.
Filem ini tidak dibikin dengan mudah dan kosnya bukan murah. Kecederaan juga banyak berlaku tetapi harap berbaloi apabila ditayang di panggung nanti.
“Sokongan rakyat Malaysia untuk naskhah tempatan sangat diharapkan, selebihnya kita serahkan pada Dia.
“Saya amat berbesar hati apabila Adrian menaruhkan kepercayaan untuk sekali lagi terlibat dalam filem arahannya bersama pelakon hebat lain,” ujarnya. – HIBGLAM
