PELAKON Zizie Izette berkongsi detik mencemaskan apabila anak lelakinya Aaleph hilang ketika mereka berkunjung ke pusat beli belah Suria KLCC.
Dalam perkongsian menersui Threads, Zizie atau nama lengkapnya Zizie Izzette Abdul Samad, 48, memaklumkan dia ke pusat beli belah terkenal itu tanpa pembantunya.
“Oh tuhan. Hari ini saya kehilangan anak lelaki saya di KLCC. Hari ini saya membuat keputusan untuk tidak membawa pembantu sebab kononnya nak ‘bonding time’ antara ibu dengan anak-anak.
Sewaktu saya di kaunter bank, tiba-tiba anak saya Adam datang dalam keadaan panik beritahu Aaleph hilang. Saya terus tinggalkan kad pengenalan dan buku bank pada pegawai bertugas dan berlari mencari Aaleph.
“Lima minit kemudian, pihak KLCC menghubungi saya dan memberitahu menemui seorang budak lelaki. Alhamdulillah itu ialah anak saya Aaleph. Nasib baik saya selalu ajar anak-anak saya untuk hafal nombor telefon saya jika ada kecemasan,” tulisnya.
Tambah pelakon drama Aduhai Esah itu lagi, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak berlakunya insiden itu kerana semuanya berpunca daripada kecuaiannya sendiri.
“Saya tak salahkan sesiapa. Saya pun cuai juga. Jalan laju sangat sampai tak pandang belakang.
Saya jadikan ini sebagai pengajaran. Kalau keluar dengan lima orang anak, jangan anggap semua tengah ikut. Sentiasa kira jumlah anak-anak setiap lima minit.
“Mama inginkan ‘bonding time’, tetapi yang dapat adalah kardio dan serangan panik,” tulisnya. – HIBGLAM
