LEBIH separuh abad, namun seleksi lagu penghibur legenda, ABBA masih mampu membuatkan tubuh bergoyang mengikut rentak yang dibuktikan menerusi kemunculan kumpulan tribute, Björn Again di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Diterbangkan khas Shiraz Project selaku penganjur, Benny Anderwear, Agnetha Falstart, Björn Kristian Ulvaeus dan Frida Longstokin mengubah gelanggang acara di segi tiga emas itu menjadi pentas nostalgia.
Sarat warna, tarian dan emosi menerusi The ABBA Forever Tour 2026, konsert tersebut bukan sekadar menghidangkan deretan lagu popular, malah membawa penonton menyusuri semula zaman kegemilangan ABBA menerusi persembahan bertenaga yang disulam elemen humor serta teaterikal.
Mereka mengangkat karya legenda Sweden itu sebagai pesta muzik yang mencetuskan semula aura era 1970-an menerusi gabungan vokal, kostum ikonik, jenaka dan tenaga persembahan yang cukup bersahaja.
Seawal muzik berkumandang, suasana di dalam gelanggang tersebut seolah-olah bertukar menjadi lantai tari apabila penonton pelbagai peringkat usia larut dalam melodi yang sebati dengan ingatan, bahkan itu juga bukti karya ABBA masih memiliki kuasa luar biasa dalam menyatukan generasi.
ABBA ‘bernyawa’
Apa yang membezakan Björn Again daripada persembahan tribute biasa adalah keberanian untuk tidak terlalu serius dalam menghidupkan semula dunia ABBA.
Itulah kekuatan utama Björn Again yang pernah berkunjung ke Malaysia lebih sedekad lalu kerana empat sekawan itu tidak cuba menggantikan ABBA, sebaliknya meraikan muzik kumpulan berkenaan dengan cara tersendiri.
Andai menyelak latar belakang kumpulan yang ditubuhkan pada 1988 itu, mereka sudah mengadakan persembahan di lebih 120 negara, termasuk pentas berprestij seperti Wembley Stadium, Royal Albert Hall dan Sydney Opera House.
Mereka turut meraih pengiktirafan daripada anggota asal ABBA yang tentu sahaja mengukuhkan kedudukan sebagai antara tribute act paling berpengaruh di dunia.
Demam Dancing Queen
Antara momen yang mengundang keterujaan tentu sahaja apabila rangkaian lagu popular seperti Dancing Queen, Mamma Mia, Waterloo, SOS dan Gimme! Gimme! Gimme! diperdengarkan.
Tidak perlu menunggu penonton dipujuk untuk menyanyi bersama kerana sebahagian besar lirik sudah tersimpan kemas dalam ingatan mereka, semua terus bangun dan mengikuti rentak.
Dancing Queen, khususnya menjadi antara seleksi yang paling mesra di teling apabila penonton diberi ruang untuk menyanyi, bergerak dan menikmati muzik tanpa memikirkan batasan usia.
Dalam sekelip mata, Zepp Kuala Lumpur seolah-olah bertukar menjadi sebuah kelab hiburan retro yang merentasi masa.
Kekuatan persembahan tidak terhenti pada dendangan rancak sahaja, bahkan Björn Again turut menyuntik nuansa sentimental ABBA menerusi karya seperti The Winner Takes It All, Chiquitita, Fernando dan I Have a Dream.
Walaupun sesetengah lagu dicipta puluhan tahun lalu, tema mengenai cinta, kehilangan, perpisahan dan harapan masih mampu menggetarkan emosi pendengar pada hari ini.
Lebih menarik, Björn Again juga membuktikan populariti ABBA terus hidup kerana melodinya mudah diingati, liriknya dekat dengan kehidupan dan susunan muzik mempunyai keupayaan luar biasa untuk membuatkan setiap karya malar segar.
Kebangkitan semula populariti ABBA turut dipacu fenomena Mamma Mia!, baik menerusi filem mahupun pementasan teater, yang memperkenalkan karya kumpulan itu kepada generasi lebih muda.
Justeru, kemunculan Björn Again di Kuala Lumpur hadir pada waktu yang cukup tepat ketika muzik lama tidak lagi dianggap hanya khazanah, malah kembali menjadi sebahagian daripada budaya pop semasa.
Energi luar biasa
Satu lagi perkara yang wajar diberikan pujian ialah tenaga persembahan Björn Again apabila aksi mereka tidak terasa seperti hanya menyanyikan semula lagu daripada album.
Ada unsur spontan, humor, interaksi dan karakter yang menjadikan setiap segmen mempunyai identiti tersendiri, sekali gus keseluruhan aksi mereka terus berbekas diingatan khalayak.
Dengan pengalaman menjelajah lebih 120 negara, tidak menghairankan apabila kumpulan berkenaan cukup memahami formula menghidupkan suasana fiesta dan menjadikan penonton sebahagian daripada persembahan.
Dalam tempoh dua jam menakluk Zepp Kuala Lumpur, Björn Again seperti menbawa semula roh muzik ABBA agar terus bernyawa serta dinikmati secara ‘live’ penggemar seluruh dunia. – HIBGLAM
