‘Noorkhiriah ‘hilang’ bukan gimik melariskan drama saya’

PENERBIT Jaja Ishak menafikan kehilangan pelakon Noorkhiriah daripada radar industri seni serta tindakannya menyahaktifkan akaun media sosial sengaja dilakukan sebagai gimik bagi melonjakkan populariti drama komedi keluarga Boss Kid terbitannya.

Ujar Jaja atau nama sebenarnya Surja Khairul Ishak, 44, kehilangan pelakon terbabit berlaku secara kebetulan ketika drama berkenaan sedang bersiaran, malah pihak produksi tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mencetuskan publisiti menerusi situasi tersebut.

“Sebenarnya, Kak Nor (Norkhiriah) sudah hilang beberapa bulan, kali terakhir berjumpa dengannya ketika kami menjemputnya menjadi pengacara bagi satu program dahulu dan selepas itu, tiba-tiba dia hilang.

“Saya difahamkan dia sedikit merajuk dengan industri kerana sudah lama tidak mendapat tawaran. Secara kebetulan pula drama ini sedang ditayangkan dan cerita mengenai kehilangannya tersebar di merata-rata tempat.

“Perkara itu sedikit sebanyak memberi nilai tambah untuk menaikkan semula nama Noorkhiriah dan drama kami tapi ini bukan gimik. Semua secara kebetulan dan tidak ada kena-mengena dengan syarikat produksi,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas hubungannya dengan Noorkhiriah sepanjang tempoh pelakon terbabit menyepi, Jaja berkata dia sebenarnya pernah berusaha menawarkan beberapa peluang kepada rakannya itu, terutama membabitkan program di Pahang.

“Di Pahang, banyak program melibatkan selebriti dan artis. Jadi, saya ada cuba menawarkannya menyertai beberapa program tapi disebabkan dia hilang dan sukar dihubungi, saya tak dapat berbuat demikian.

“Saya pernah telefon Datuk Fizz Fairuz dan dia cakap Kak Nor memang menghilang buat sementara waktu. Namun, seminggu sebelum drama Boss Kid ditayangkan, Kak Nor menghubungi saya melalui WhatsApp.

“Dia berjanji tidak akan menghilang lagi kerana sudah sedar dirinya masih relevan dan diperlukan dalam industri seni,” ujarnya.

Paling penting kata Jaja, maklumat mengenai kekecewaan Noorkhiriah terhadap tawaran kerja turut diketahuinya menerusi perbualan dengan Datuk Fizz Fairuz selain luahan pelakon terbabit sendiri.

Sebagai sahabat, Jaja mengakui sentiasa menasihati Noorkhiriah agar tidak terlalu lama membawa rasa kecewa terhadap perjalanan kerjaya.

“Sudah tentu, sebagai kawan baik, saya cakap kepadanya, ‘Kak Nor, jangan buat begini.’ Dalam mana-mana industri, termasuk industri kreatif, turun naik memang akan berlaku.

“Kita faham perasaan dia. Dia berhak untuk terkilan dan merajuk, tetapi saya rasa tidak perlu terlalu lama. Sayang kalau bakatnya disia-siakan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Jaja berharap kejayaan Boss Kid membuka semula ruang lebih luas buat Noorkhiriah menerima tawaran daripada penerbit serta pengarah lain.

Untuk rekod, Boss Kid bersiaran menerusi slot Lestary TV3 sejak 21 Ogos lalu dan mengisahkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun berusaha mengubah kehidupan keluarganya menerusi kreativiti, keberanian serta kebijaksanaan memanfaatkan media sosial.

Selain Noorkhiriah, drama berkenaan turut menampilkan Syed Irfan, Datuk Fizz Fairuz, Ummar Dzariff dan Qistina Raisah. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok