Kalau lagu sedap, tidak memerlukan ‘high note’ – M. Nasir

MAESTRO muzik, Datuk M. Nasir meluahkan pandangan bahawa keupayaan penyanyi mencapai nada tinggi (high note) bukanlah penanda aras utama bagi menentukan sesebuah karya berkualiti.

Ujar pemilik nama lengkap Mohamad Nasir Mohamed Sam, 69, kualiti sesebuah lagu terletak pada keindahan melodi serta liriknya.

“Bagi saya, lagu yang sedap (untuk menang). ‘High note’ tidak bermakna lagu itu sedap — ini bermaksud penyanyi itu boleh sampai ke nada tinggi, itu sahaja.

“Tetapi kalau lagu yang sedap, tidak memerlukan ‘high note’. Cuma akhir-akhir ini memang susah hendak buat lagu yang tidak mempunyai ‘high note’ sebab kita sudah biasa.

“Kalau dalam carta muzik dunia, kebanyakan lagu sebenarnya mudah dan sederhana,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Magnum Opus: M Nasir Dekad Ke-5 di Istana Budaya (IB) di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, pelantun lagu Tanya Sama Hud Hud itu berpendapat bahawa kehadiran penyanyi yang memiliki keunikan vokal tersendiri adalah elemen penting yang sukar dicari.

“Kena ada seorang penyanyi yang mempunyai suara unik. Kemahiran menyanyi itu memang dah tentu ada.

“Tapi dia kena ada suara yang orang suka. Itu satu benda yang susah kita nak ceritalah.

“Umpamanya macam sekarang suara yang besar-besar mungkin orang dah tak minat lagi walaupun bagus dia menyanyi, suara pun sedap, tetapi orang dah tidak menjadikan trend lagi,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok