VOKALIS kumpulan New Boyz, Tomok reda dan berlapang dada menerima keputusan bekas pemain bass kumpulan itu, Syuk yang menolak pelawaan untuk kembali membuat persembahan bersama mereka.
Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 40, berkata, dia menghormati pendirian sahabat lamanya itu meskipun pelbagai usaha telah dilakukan sejak sekian lama bagi memujuknya menyertai semula kumpulan berkenaan.
“Sahabat saya Syuk bersama New Boyz untuk dua album sebelum dia mengundur diri. Hubungan kami tetap baik dan bersahabat seperti biasa.
Untuk konsert pertama New Boyz pada 2023, saya ada hubunginya tetapi tiada jawapan. Begitu juga dengan konsert kedua, masih tiada respons.
“Bagi konsert kelima ini, saya cuba wawarkan di media sosial dengan harapan ada individu terdekat yang boleh menyampaikan mesej kepadanya selepas perkara ini mendapat liputan media,” katanya menerusi satu perkongsian video.
Menurut Tomok, usaha memujuk Syuk bukan sekadar dilakukan menerusi perantaraan orang lain, malah dia turut mengambil inisiatif berkunjung sendiri ke kediaman bekas anggota kumpulan itu, namun hasratnya masih belum kesampaian.
“Semalam, saya dapat tahu Syuk ada memuat naik kenyataan di akaun TikTok miliknya yang menyatakan dia tidak berminat untuk sertai konsert ini, selain mengucapkan selamat maju jaya kepada New Boyz.
Dia juga ada menghantar mesej peribadi kepada saya selepas sekian lama tidak berhubung. Alasan yang diberikan tetap sama, dia sibuk dengan urusan kerja dan komitmen keluarga,” kongsinya.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Sejarah Mungkin Berulang itu menegaskan, dia tidak pernah menutup ruang sekiranya Syuk berubah fikiran dan berhasrat untuk kembali bersama New Boyz pada masa akan datang.
Saya hormat keputusannya. Mesej yang disampaikan secara peribadi dan di TikTok adalah sama, jadi tiada masalah bagi pihak saya. Namun, jika suatu hari nanti hatinya terbuka untuk kembali bersama kami, pintu sentiasa terbuka dan hubungi sahaja saya.
“Semua usaha ini dibuat demi mengimbau kenangan bersama para peminat yang membesar dengan lagu-lagu New Boyz,” jelasnya.
Dalam pada itu, Tomok berharap peminat dapat memahami keputusan Syuk dan tidak mengabaikan sokongan terhadap enam anggota lain yang masih meneruskan perjuangan bersama kumpulan itu.
“Kalian kena terus sokong mereka yang masih bersama saya iaitu Jay, Along, Lan, Zack, Hafiz dan Risto.
Saya harap peminat faham kerana saya sudah mencuba selama bertahun-tahun. Walaupun ada rasa ralat dan sedih, kita perlu terima. Selagi New Boyz wujud, insya-Allah kenangan bersama peminat tidak akan hilang,” tuturnya.
Terdahulu, menjelang konsert New Boyz yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember depan, Tomok mendedahkan dia turut mencari Syuk di kawasan kediamannya, malah sempat bertemu ibu bekas anggota kumpulan itu dalam usaha menyampaikan hasrat untuk mengajaknya kembali membuat persembahan.
Kehadiran Syuk dianggap cukup bermakna buat peminat memandangkan dia pernah terlibat dalam rakaman dua album terawal New Boyz yang memuatkan beberapa lagu popular kumpulan berkenaan sebelum posisinya digantikan Zack.
Malah, peminat masih menyimpan harapan untuk melihat Syuk kembali bersama kumpulan itu selepas empat konsert terdahulu berlangsung tanpa penglibatannya.
Bagaimanapun, Syuk atau nama sebenarnya, Mohd. Syukri Mohd. Shanushi menerusi satu hantaran di media sosial memaklumkan bahawa dia tidak lagi berminat untuk menyertai New Boyz, selain menitipkan ucapan selamat maju jaya buat Tomok dan rakan-rakan lain. – HIBGLAM

