‘Syukur diterima, begini rupanya rasa lagu kita dihargai’

TIDAK lagi berdepan kecaman, penyanyi Noraniza Idris meluahkan rasa syukur apabila namanya kembali menerima perhatian positif, malah menganggap sokongan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai antara perkara paling bermakna dalam perjalanan seninya.

Ujar Noraniza, 55, dia berterima kasih kepada Siti kerana membantu menjawab persoalan berpanjangan peminat, selain membuka ruang untuk mereka kembali berkongsi pentas selepas dua dekad tidak membuat persembahan bersama.

“Sejujurnya, saya agak risau untuk bercakap mengenai perkara ini. Namun, saya berterima kasih kepada Siti kerana membantu menjawab persoalan orang ramai mengenai diri saya, selepas sekian lama mereka tertanya-tanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Secara tidak langsung, kemunculan dalam konsert Gema Bumantara turut mengeratkan ukhuwah antara kami. Masing-masing mempunyai kerjaya sendiri dan perlu saling menghormati.

“Apabila Siti menjemput saya, sekurang-kurangnya peluang itu dapat mengimbau kembali kenangan lama,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelantun lagu Hatinya Tak Tahan itu, kesudian Siti memberinya peluang tampil bersama di Konsert Tradisional Gema Bumantara bukan sahaja membawa makna peribadi, malah menjadi detik penting buat peminat muzik tradisional Melayu.

“Ini menjadi satu lipatan sejarah amat dinanti-nantikan peminat. Saya melihatnya sebagai rezeki apabila apa sahaja disuarakan Siti mendapat perhatian, malah ada pengikutnya menerima dan menyokong perkara tersebut.

Disebabkan itu, saya sangat berharap Siti tidak berhenti, sebaliknya terus mengangkat Irama Malaysia menerusi pendekatan tersendiri demi membuka peluang kepada generasi baharu.

“Jika kita lihat dalam TikTok, ramai artis menghasilkan lagu irama Malaysia tetapi masih belum berjaya menembusi pasaran arus perdana. Siti boleh menjadi suara mewakili semua penggiat genre ini,” ujarnya pada sidang media Festival Akar Kita Zapin 2026, hari ini.

Dalam pada itu, Noraniza mengakui masih terkejut dengan sambutan positif terhadap single terbaharunya, Salam Kaut selepas sekian lama berusaha mempertahankan kedudukannya dalam industri muzik tempatan.

“Sampai sekarang saya masih berasa sedikit terpinga-pinga. Bukan apa, saya teruja apabila semakin ramai boleh menerima lagu baharu saya.

Saya bersyukur dan tertanya-tanya, beginikah rasanya apabila orang menghargai lagu kita? Saya sendiri melihat kembali apa sudah saya lakukan untuk menghasilkan karya ini.

“Selepas itu, saya kembali menjadi perhatian apabila muncul sebagai penyanyi jemputan dalam sebuah konsert. Sejujurnya, saya takut untuk memberikan terlalu banyak komen. Jadi, biarlah saya lebih berhati-hati dan hanya bercakap mengenai perkara perlu. Bagi saya, lebih baik menjaga hati sendiri serta perasaan orang lain,” tuturnya.

Terdahulu, Noraniza sering menjadi sasaran kritikan netizen menerusi perkongsian dalam media sosial.

Bagaimanapun, perhatian terhadap dirinya dilihat semakin positif selepas kemunculannya sebagai penyanyi jemputan dalam konsert Gema Bumantara, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan seninya bersama peminat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok