PENYANYI dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob meluahkan rasa malu dengan sikap segelintir selebriti yang mengeluarkan kenyataan kurang sensitif apabila menyentuh isu perayaan agama lain.
Fazley, 48, yang pernah dibesarkan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), menegaskan bahawa menghormati agama dan tradisi masyarakat lain sama sekali tidak bermakna seseorang perlu mengubah pegangan peribadinya.
“Saya dahulu membesar di Los Angeles, sertai jiran-jiran ketuk pintu minta gula-gula sambil pakai baju Batman.
“Saya juga pernah duduk di atas paha pakcik berbangsa Afrika-Amerika kerana dia mahu memberi hadiah Krismas dan menyertai aktiviti mencari coklat telur Easter di sekolah.
“Namun, apabila pulang ke Malaysia, saya masih tetap menikmati makanan tradisi seperti budu dan tempoyak,” katanya menerusi hantaran di Thread.
Ujar Fazley, individu yang mempunyai pengikut termasuk golongan selebriti perlu berhati-hati dalam melontar pandangan apatah lagi membabitkan amalan dan kepercayaan penganut agama lain.
“Bila ramai cakap artis dan selebriti tak berapa nak cerdik, ramai yang tak gembira.
“Tapi, apabila ada rakan industri kita yang dikenali ramai tetapi tetapi membuat hantaran seolah-olah hidup dalam negara yang hanya ada dua orang sahaja, saya sendiri berasa malu membaca kenyataan tersebut,” katanya.
Semalam, media sosial kecoh selepas pelakon Zahirah MacWilson mempersoalkan beberapa amalan ketika sambutan perayaan berkenaan, termasuk kanak-kanak memakai kostum, meminta gula-gula atau coklat serta duduk di atas pangkuan lelaki lebih berusia.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata netizen menyifatkan pandangan tersebut tidak sensitif terhadap kepercayaan penganut agama lain. – HIBGLAM

