‘Jangan malu kenali budaya, warisan kita sendiri’

HARGAI jati diri sendiri, penyanyi Tomok menyeru orang ramai, khususnya generasi muda, agar sentiasa menghargai warisan dan budaya tempatan supaya khazanah berharga itu terus terpelihara serta tidak ditelan arus pemodenan.

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 42, berkata kesedaran terhadap budaya sendiri perlu dipupuk sejak awal kerana generasi hari ini memainkan peranan penting dalam memastikan warisan bangsa terus dikenali dan diwarisi oleh generasi akan datang.

“Pada saya, generasi muda perlu mengambil peluang untuk mengenali dan mempelajari warisan serta budaya kita sendiri. Kalau bukan kita yang menghargai dan meneruskannya, siapa lagi?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jangan malu untuk mengenali budaya sendiri. Sebaliknya, belajarlah dan hayati keunikan warisan kita kerana setiap satunya mempunyai nilai serta cerita tersendiri.

“Warisan ini bukan sekadar kisah zaman dahulu, tetapi khazanah berharga mesti dipelihara supaya generasi akan datang turut berpeluang mengenali dan menghayatinya,” katanya.

Paling penting kata pelantun lagu Meraung itu, masyarakat tidak seharusnya berasa malu atau menganggap budaya tradisional sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman, sebaliknya perlu berbangga dengan keunikan identiti tempatan.

Justeru, dia teruja apabila diberi peluang menghiburkan masyarakat Temerloh menerusi Fiesta Tun Teja, pada 6 hingga 8 November 2026 di Dataran Temerloh, Pahang sekali gus membuka ruang untuk mendekati peminat, malah menjadi platform bagi memperkenalkan budaya dan warisan tempatan kepada masyarakat melalui pendekatan lebih santai serta menghiburkan.

“Alhamdulillah, pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk bersama-sama memeriahkan Fiesta Tun Teja.

“Sudah tentu saya berasa gembira dan teruja kerana berpeluang bertemu serta menghiburkan masyarakat Temerloh. Bagi saya, peluang seperti ini cukup bermakna kerana hubungan antara penghibur dengan peminat dapat dieratkan.

“Muzik sendiri merupakan medium untuk menyatukan masyarakat. Sebab itu, saya berpendapat program seperti Fiesta Tun Teja wajar diteruskan kerana bukan sahaja menawarkan hiburan, malah menghidupkan suasana komuniti dan memberi peluang kepada keluarga meluangkan masa bersama-sama,” ujarnya.

Festival anjuran Majlis Tindakan Sosial Pahang di bawah seliaan APRESIASI PAHANG 1st itu bertujuan mengangkat budaya serta warisan negeri Pahang, selain menyatukan pemimpin dan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Bagi memeriahkan acara, Fiesta Tun Teja turut menampilkan barisan penyanyi popular tanah air, antaranya Ella, Haqiem Rusli, Khai Bahar, Siti Nordiana, Ameng Spring dan Tomok, selain beberapa penghibur lain. – HIGBLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok