BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mendedahkan menerima pelawaan menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku pada perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sehari sebelum acara berlangsung.
Menurut Siti, 47, pada awalnya, kehadirannya ke acara tersebut sekadar untuk menyaksikan perlumbaan bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sebelum ditawarkan melunaskan tanggungjawab tersebut.
“Pelawaan itu memang saya terima pada saat akhir iaitu sehari sebelum acara dan memang kebetulan pergi menonton bersama dengan suami. Jadi, mereka pun bertanya dan saya okey saja.
“Ini kira untuk negara. Saya kata untuk negara boleh (menyanyi Negaraku di MotoGP) tapi sebenarnya memang sangat gemuruh.
“Saya sangka menyanyi dengan ‘minus one’, rupa-rupanya diiringi kumpulan pancaragam Brass Band Angkatan Tentera Malaysia (AMT),” katanya kepada HibGlam selepas Majlis Apresiasi Konsert Legacy 30 dan Gema Bumantara, semalam.
Ujarnya, setiap perbincangan mengenai susunan muzik hanya berlaku dalam tempoh yang singkat dan menerusi panggilan telefon serta rakaman audio.
“Paling penting, saya nak dengar susunan muzik. Selepas itu kami berbincang menerusi panggilan telefon sahaja.
“Kemudian saya nyanyikan nada saya menerusi pesanan suara, hantar kepada ketua muzik AMT. Jadi mereka tukar susunan muzik mengikut nada saya.
“Saya perlu tahu bila nak masuk dan habis, macam itu saja. Mereka lakukan demi Siti dan saya demi negara,” katanya lagi.
Mengulas lontaran nada tinggi pada penghujung lagu yang menjadi bualan dalam media sosial, dia berkata, perkara tersebut bagi mendapatkan penutup persembahan yang lebih bersemangat.
“Bahagian akhir itu, saya berlatih dan cuma naikkan nada tinggi sahaja sebab nak bagi lebih semangat.
“Memandangkan acara di Malaysia, kita perlu tunjukkan rasa semangat menyanyikan lagu kebangsaan itu.
“Cuma macam mana kita nak membawa lagu Negaraku itu, tak boleh keterlaluan. Memang dalam kepala saya, saya tak boleh macam nak lenggok berlebihan, nanti orang kata tidak menghormati pula,” ujarnya.
Mengulas mengenai segelintir pihak yang berharap dia merakam Negaraku dalam versinya, Siti tidak mempunyai sebarang perancangan mengenai hal tersebut,
“Tak tahulah nak cakap apa. Ada orang okey dan sebaliknya, itu biasalah.
“Ada orang suka suara lelaki, ada orang suka suara perempuan. Kalau untuk kebaikan (rakam lagu), saya okey,” jelasnya.
Dalam masa sama, dia terharu apabila nyanyiannya dikatakan berjaya menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan penonton.
“Terima kasih. Saya rasa memang bila menyanyi lagu Negaraku, kita akan secara automatik rasa semangat.
“Bila kita semangat dan cintakan negara, memang nyanyian itu akan ikut sama,” jelasnya lagi.
Semalam, persembahan Siti di MotoGP meraih pujian ramai kerana kemerduan suara dan lenggok nyanyian luar biasa. – HIBGLAM

