‘Takut populariti, saya cuma mahu terus berlakon’

BELUM pun mengecap populariti, pelakon baharu Amirah Razak mengakui dibelenggu kebimbangan sekiranya namanya melonjak naik secara mendadak susulan kemunculannya sebagai teraju utama filem Baga: Esok Untuk Siapa.

Menurut Amirah atau nama lengkapnya Nur Amirah Haisyah Abdul Razak, 27, kemasyhuran bukanlah sesuatu yang menjadi keutamaan dalam perjalanan seninya. Sebaliknya, dia lebih mengharapkan peluang untuk terus mengasah bakat dan mengembangkan kerjaya dalam bidang lakonan.

“Sebenarnya saya takut dengan populariti. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku apabila sudah berada di atas. Macam-macam perkara boleh terjadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya bukan seorang yang mahu menjadi terkenal secara mendadak.

“Apa yang saya mahukan hanyalah peluang untuk terus berlakon,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Mengakui masih belum terbiasa dengan perhatian yang diterima, Amirah tidak menafikan dirinya belum benar-benar bersedia sekiranya tiba-tiba dikenali.

Malah, dia menganggap segala yang sedang dilalui ketika ini sebagai pengalaman baharu yang memerlukan masa untuk dirinya menyesuaikan diri, selain memilih untuk menyerahkan perjalanan kerjayanya kepada ketentuan Ilahi.

“Sejujurnya, saya masih terharu dan tidak percaya dengan semua perkara yang sedang berlaku. Kalau ditanya sama ada sudah bersedia atau tidak, sebenarnya saya belum begitu bersedia.

“Saya masih dalam proses mempersiapkan diri. Buat masa sekarang, saya hanya mahu memberikan yang terbaik untuk filem Baga dan apa sahaja yang berlaku selepas ini, saya serahkan kepada Tuhan,” katanya.

Dalam pada itu, Amirah bergandingan dengan Amir Ahnaf sebagai pasangan teraju utama menerusi filem Baga: Esok Untuk Siapa yang mengetengahkan genre jenayah dan drama.

Naskhah terbitan Indigo Films itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 November ini.

Menjalani penggambaran di Terengganu, Baga: Esok Untuk Siapa mengisahkan Jani dan Melur, sepasang kekasih muda yang terperangkap antara realiti kehidupan dengan impian untuk mengubah nasib mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok