Mak pegang duit saya, rasa lebih selamat – Iman Troye

SELESA menyerahkan urusan kewangan kepada ibu, penyanyi Iman Troye menganggap segala rezeki yang dimiliki hari ini merupakan berkat pengorbanan orang tuanya.

Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 24, berkata, sejak mula bekerja pada usia 16 tahun, ibunya yang diamanahkan menguruskan pendapatan serta perbelanjaannya sehingga ke hari ini.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat atas kehendak sendiri kerana cenderung berbelanja mengikut kehendak jika tidak dikawal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada awal saya menyanyi, sejak umur 16 tahun saya sudah bekerja. Dari situlah emak pegang duit saya sampailah sekarang. Semua benda emak yang uruskan.

Setiap bulan dia akan beri duit belanja. Kalau dia bagi jumlah itu, itulah yang saya perlu gunakan untuk sebulan. Saya tak boleh minta lebih.

“Kalau nak beli apa-apa pun, saya kena minta izin emak dahulu. Sejujurnya saya rasa lebih selamat apabila orang tua kita pegang duit,” katanya selepas mengadakan persembahan di majlis pembukaan outlet Bayu Somerset di 118 Mall, baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Teman itu, dia tidak pernah menganggap pendapatan yang diperoleh hasil titik peluh sendiri sebagai milik mutlaknya kerana percaya kejayaan hari ini turut didorong atas restu ibu bapanya.

Saya nak ibu bapa saya rasa duit tersebut juga merupakan milik mereka, bukan duit saya semata-mata. Saya ada di sini pun disebabkan rezeki dan pengorbanan mereka,” ujarnya.

Pada masa sama, Iman mengakui berhemat dalam berbelanja tanpa dipengaruhi kecenderungan hanya mahu bergaya dengan produk antarabangsa.

Saya bukan individu yang terlalu mementingkan jenama. Ada juga satu, dua saya beli ‘brand’ luar, selebihnya memang produk lokal.

“Memang saya suka menyokong produk tempatan. Masing-masing ada kreativiti dan identiti tersendiri, bahkan masih mengekalkan elemen Malaysia serta tradisi kita,” ujarnya.

Sementara itu, menyentuh perkembangan kerjaya seni, Iman memaklumkan kini dalam perancangan menghasilkan lagu raya untuk sebuah album yang dijangka dilancarkan tahun depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok