PELAKON Noorkhiriah menafikan dakwaan kononnya dia menghilangkan diri daripada radar dunia hiburan khususnya media sosial disebabkan masalah kesihatan, sebaliknya mengakui mahu memberikan lebih perhatian kepada keluarga.
Noorkhiriah atau nama penuhnya Noorkhiriah Ahmad Shapie, 50, berkata, keputusan untuk menyepi daripada media sosial dibuat bagi membolehkannya meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga namun menegaskan kerjaya seni masih berjalan seperti biasa
“Alhamdulillah sihat, hari ini Allah SWT keluarkan saya dari ‘gua’. Kalau saya sakit sekali pun, tolonglah doakan sebagai sesama Muslim.
“Anak-anak masih kecil dan perlukan perhatian. Apabila sibuk dengan Instagram, kita boleh jadi leka.
“Bukanlah sampai terabai, cuma pada usia sekarang saya mahu memperlahankan sedikit rentak. Namun saya masih berada dalam industri dan terus bekerja sebagai pelakon,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA2026) , malam tadi.
Mengulas lanjut, Noorkhiriah berkata, hasrat untuk tidak terlalu aktif dalam media sosial sebenarnya sudah lama dipendam, malah niat tersebut pernah disuarakan ketika berada di Tanah Suci kira-kira 10 tahun lalu.
“Sebenarnya saya ada sahaja dan tidak ke mana-mana. Cuma pada tahun 2016 semasa berada di hadapan Kaabah, saya pernah berdoa kepada Allah bahawa jika boleh, saya tidak mahu aktif dalam media sosial.
“Selepas 10 tahun, barulah doa itu termakbul dan akaun saya tidak aktif. Saya bukannya menghilang, saya masih ada,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pelakon tersebut turut memohon maaf kepada rakan media dan kenalan industri yang tertanya-tanya mengenai keadaannya serta gagal mendapatkan maklum balas daripadanya sebelum ini.
“Saya minta maaf kepada rakan media yang mencari dan menghubungi sebelum ini. Saya tidak membalasnya waktu itu kerana belum ada jawapan yang sesuai untuk diberikan.
“Sebelum ini saya tidak memberikan sebarang maklum balas kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan,” jelasnya.
Ditanya sama ada keputusan untuk tidak aktif di media sosial menimbulkan kebimbangan terhadap peluang mendapatkan tawaran lakonan, dia juga menegaskan bahawa dia tidak pernah meragui ketentuan rezeki yang telah ditetapkan Allah SWT.
“Rezeki itu Allah SWT yang pegang dan berikan. Kalau mereka mahu mencari saya, pasti ada jalannya.
“Apabila satu pintu tertutup, sepuluh pintu lain akan terbuka,” ujarnya yang bakal kembali ke set penggambaran sebuah filem bersama penerbit, Datuk Yusof Haslam, dalam masa terdekat.
Semalam, Noorkhiriah diumumkan sebagai pemenang kategori Pelakon Wanita Drama TV Terbaik pada ASA2026 menerusi lakonan hebatnya sebagai wanita mempunyai sindorm Turner dalam drama Seribu Tahun.
Kemenangan tersebut menyaksikan dia mengetepikan tiga pencabar lain, iaitu Fauziah Ahmad Daud menerusi Dosa Tak Terampun dan Cinta Yang Menakluki, Mira Filzah (Curang Tanpa Niat) serta Sharifah Sakinah (Wok).
Menerusi kemenangan itu, Noorkhiriah turut membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi sebagai pengiktirafan terhadap mutu lakonannya. – HIBGLAM

