PENYANYI Azeva mendedahkan zaman kanak-kanaknya banyak dilalui secara bersendirian tanpa kehadiran ibu dan bapanya di sisi.
Azeva atau nama lengkapnya Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin, 25, bagaimanapun memahami kesibukan ibunya yang penerbit Datuk A. Aida, kerana terpaksa bekerja keras demi menyara keluarga.
“Ketika masih kecil, kebanyakannya saya seorang diri, mama dan ayah tiada. Mama pernah cerita dalam podcast sambil menangis, dia menyesal tak luangkan masa dengan anak dia.
“Tapi saya faham saja, bila dah besar saya baru terfikir mama kena kerja, besarkan kami seorang diri. Bukan dia sengaja nak tinggalkan kami.
Waktu kecil memang sunyi, saya dengan patung Barbie saja. Sampai umur 11 atau 12 tahun baru ada seseorang, ketika itu ada adik, kalau tak membesar seorang diri,” katanya dalam sebuah audio siar.
Pelantun lagu Tanpa Rasa Jemu itu sering membandingkan nasib dirinya dengan rakan sebaya namun mula memahami realiti kehidupan selepas melangkah ke alam sekolah menengah.
“Masa sekolah saya tengok ibu bapa selalu datang pertandingan anak-anak mereka baru saya faham perasaannya. Saya suka banding-bandingkan, tengok kawan-kawan saya mak ayah mereka selalu ada, kenapa saya seorang saja?
“Tapi saya faham, macam orang kata kita tak dapat semua. Mungkin saya tak dapat keluarga yang lengkap.
“Kalau itu apa yang saya kena lalui untuk sampai ke tahap ini, saya tidak kisah. Mungkin Tuhan tak bagi saya keluarga lengkap tapi dia bagi benda lain, saya bersyukur,” ujarnya.
Dalam masa sama, Azeva turut berkongsi mengenai hubungan bersama bapanya yang juga penyanyi Ameng yang kian akrab selepas menyertai program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).
Ayah betul-betul kembali waktu TTMM2. Baru dia ada, kalau tak selama ini macam ada, tak ada.
“Kami berhubung tapi tiga bulan sekali. Selepas TTMM2, hampir setiap hari dia tanya perkembangan saya.
“Baru saya rasa ada seorang ayah walaupun selepas berusia 25 tahun,” kongsinya.
Terdahulu, Ameng dan A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang pernah mendirikan rumah tangga pada 1994, namun berpisah pada 2003.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Wan Az Aleesa, 30, dan Azeva. – HIBGLAM

