MESRA di lokasi penggambaran, belum tentu hati sudah saling bertaut. Namun, apabila dua pelakon serasi bergandingan, ada sahaja penonton yang berharap kisah cinta di layar berlanjutan ke alam realiti.
Begitulah yang dilalui Siti Khadijah apabila keakrabannya dengan Amir Ahnaf selepas membintangi drama Cinta Dalam Sekam mengundang usikan peminat.
Your message has been sent
Sebahagian peminat masih tidak boleh lari daripada mainan atau lakonan di kaca televisyen sehingga terbawa-bawa ke dunia nyata ditambah pengakuan aktor itu yang menyifatkan Khadijah sebagai ‘crush’, hubungan mereka semakin menjadi perhatian.
Bagi Khadijah, 27, kemesraan dipaparkan menerusi lakonan tersebut bertunjangkan persahabatan dan keselesaan bekerja bersama.
Enggan ‘menjual cinta’ demi melariskan karya, Siti Khadijah lebih senang membiarkan hasil lakonan menjadi taruhan, sementara soal jodoh diserahkan kepada ketentuan Tuhan.
Dia menegaskan hubungan dengan Amir Ahnaf sekadar teman sekerja bukan ke tahap bercinta seperti tanggapan segelintir pihak.
Bukan taktik jual
Siti Khadijah atau nama sebenarnya, Siti Khadijah Abdul Halim berkata, dia tidak pernah menggunakan taktik menjual kisah cinta atau gimik cinta lokasi demi mempromosikan drama atau filem lakonannya.
“Saya memang berkawan sahaja dengan dia. Kalau ada rezeki (berjodohan), adalah. Secara peribadi, saya tak pernah sekali pun nak ‘jual cinta’ untuk promosi projek.
“Saya utamakan hasil kerja dan persahabatan dahulu. Daripada persahabatan yang erat itu, mungkin penonton nampak keserasian kami berdua.
“Jadi lakonan kami tampak lebih akrab dan hidup. Tapi insya-Allah saya kuat, tiada bibit-bibit cinta lokasi pun berlaku,” katanya ketika ditemui pada pelancaran kedai fizikal pertama NADA, di KL East Mall, baru-baru ini.
Mengulas pula pengakuan Amir di media sosial bahawa Siti Khadijah merupakan ‘crush’ atau pujaan hatinya, pelakon filem Khadam itu menganggap ucapan berkenaan sekadar usikan.
“Ya, saya ada nampak sesi siaran langsung itu tapi pada saya, ungkapan ‘crush’ itu sekadar pujian biasa sahaja. Ia tidak mempunyai maksud.
“Macam saya sendiri puji orang lain, contohnya saya suka baju awak, cantik tudung kakak. Itu sahaja, tiada yang serius pun,” ujarnya.
Pada masa sama, Siti Khadijah turut menyifatkan tindakan netizen dan peminat yang suka memadankan atau disebut ‘ship’ hubungan mereka sebagai perkara lumrah dalam dunia hiburan.
Lumrah
Katanya, senario tersebut turut dilalui rakan seperjuangan lain terutama apabila bergandingan dengan pelakon lelaki yang masih bujang.
“Bukan zaman sekarang sahaja, era sebelum ini pun penonton dah biasa ‘ship’ kan pasangan pelakon bila mereka terbawa-bawa watak kami. Bagi saya itu perkara normal.
Mengenai dakwaan orang nampak sisi berbeza atau saya lebih mesra apabila di sisi Amir, mungkin sebab perwatakannya yang kelihatan dominan.
“Saya sendiri pun agak dominan tetapi bila berkerja bersama, orang nampak dinamik itu. Lagipun dia kerap ada di set, jadi orang selalu nampak kami bersama,” katanya.
Terbuka ketika ditanya status peribadi, Siti Khadijah mengakui belum mempunyai teman istimewa berikutan jadual kerjanya yang terlalu padat.
“Saya enggan tergesa-gesa mencari pasangan hidup sebab hari-hari saya sibuk dengan kerja. Berkenalan dengan sesiapa itu ada, cuma saya tak mencari bersungguh-sungguh.
“Saya percaya orang yang betul akan hadir pada waktu tepat.
“Lagipun siapa kita untuk menolak ketentuan Tuhan, sebab yang memegang hati kita ialah Allah,” katanya menggulung perbualan
Bukan sekadar telahan manja, gosip percintaan antara Khadijah dan Amir semakin bertiup kencang selepas mereka selalu dilihat menghabiskan masa bersama terutama selepas melunaskan baki penggambaran drama Cinta Dalam Sekam dan promosi karya terbabit. – HIBGLAM

