Rakan sekerja ‘naik takhta’ jadi raja sehari

BERMULA sebagai rakan sekerja, hubungan Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya sampai ke kemuncak apabila pasangan popular dengan gelaran BASS itu disatukan sebagai suami isteri hari ini.

Kisah cinta fenomena yang pada awalnya sekadar menjadi bahan usikan netizen itu bertukar serius apabila Bella dan Syed Saddiq semakin kerap dilihat bersama dalam pelbagai program, kerjasama untuk jenama pakaian, aktiviti sukan dan kerja amal.

Jika menelusuri semula perjalanan cinta BASS, kisah cinta mereka bukan sekadar dihiasi momen manis, sebaliknya turut diselubungi spekulasi, kecaman dan dugaan sebelum akhirnya tiba di gerbang perkahwinan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Segalanya bermula apabila Bella dan Syed Saddiq digandingkan sebagai duta sebuah jenama fesyen pada penghujung 2024 sebelum hubungan profesional itu semakin rapat selepas kerap melakukan pelbagai aktiviti bersama.

Antara yang paling diingati ramai adalah ketika mereka melaksanakan misi mendaki Gunung Kinabalu, Sabah dengan memakai pakaian tradisional sehingga tular dalam media sosial.

Sejak momen tersebut, netizen mula ‘memadankan’ mereka sehingga tercetus gelaran BASS yang merupakan gabungan nama Bella Astillah dan Syed Saddiq. Nama tersebut melekat sehingga hari ini.

Memasuki awal 2025, kemunculan Syed Saddiq dalam video muzik Bella, Tapi Bukan Denganmu menghangatkan lagi spekulasi hubungan mereka bukan lagi sebagai rakan sekerja sebaliknya teman istimewa.

Meski kerap diasak, kedua-duanya ketika itu memilih untuk mengunci mulut tetapi yang sering dituturkan Bella, 33, ialah berterima kasih untuk setiap komen dan doa positif terhadapnya dan Syed Saddiq.

“Saya tiada komen tentang status saya dengan dia tetapi terima kasih untuk segala komen positif,” antara ayat yang pernah dinyatakan sebelum ini.

Dalam masa sama, cerita tentang keakraban mereka kerap menjadi bahan perdebatan khalayak yang mempertikai statusnya sebagai ibu tunggal, sejarah hitam rumah tangga terdahulu dengan Aliff Aziz dan perbezaan latar belakang.

Tidak kurang juga ada pihak mendakwa kemesraan dipamerkan BASS sekadar strategi meraih publisiti bagi mempromosikan jenama yang melantik mereka sebagai duta selain untuk mengumpul dana daerah Muar.

Dugaan yang tidak berkesudahan, ‘persahabatan’ mereka turut diuji dengan kes mahkamah melibatkan Syed Saddiq. Namun, kelibat Bella yang sentiasa berada di sisi selain keluarga di Mahkamah mengukuhkan lagi rasa cinta yang wujud antara mereka.

Pada November 2025, hubungan mereka sekali lagi menjadi perhatian apabila timbul spekulasi mengenai kewujudan individu ketiga susulan beberapa hantaran ibu Syed Saddiq yang memaparkan seorang wanita dikenali sebagai Ami Ilana.

SADDIQ melamar Bella di puncak Gunung Kinabalu.

Tunang, nikah

Penantian ramai yang mengharapkan pengakhiran indah akhirnya terjawab apabila Syed Saddiq melamar Bella di Gunung Kinabalu pada Januari lalu sekaligus melakar memori indah dalam perjalanan cinta mereka.

Tiga bulan kemudian iaitu pada 28 Mac, Syed Saddiq dan Bella membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya apabila mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis sederhana di ibu negara.

Dalam tempoh pertunangan, pasangan ini sekali lagi diduga dengan keputusan kes mahkamahnya sehingga Syed Saddiq disahkan tidak bersalah dan dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Persekutuan.

Keputusan tersebut membuka laluan buat pasangan berkenaan meneruskan perancangan perkahwinan dengan lebih tenang sebelum mengumumkan bakal disatukan pada 10 Oktober 2026 (hari ini).

Syed Saddiq juga baru-baru ini turut mencuri perhatian ramai apabila mengakui tidak sabar untuk bernikah dengan Bella yang juga ibu kepada sepasang cahaya mata itu.

“Saya tak berdebar. Sejujurnya, tidak sabar nak menghalalkan hubungan kami.

“Kami juga tak sabar untuk kongsikan hari yang bahagia ini kepada semua,” jelasnya yang tidak pernah memasang niat menjadikan hari bahagia mereka sebagai wedding of the year seperti diperkatakan umum.

Dalam pengumuman sebelum ini, majlis pernikahan mereka mencipta sejarah apabila menjadi pasangan pertama yang disatukan di Aras 118, Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur dengan konsep serba putih disulami elemen Arab atas permintaan keluarga.

Bagi majlis respsi pula, mereka menjemput orang ramai menghadiri majlis ‘Kenduri Rakyat’ di Muar, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah, bagi meraikan perkahwinan mereka selepas bernikah.

‘Kenduri Rakyat’ meraikan perkahwinan Syed Saddiq dan Bella akan diadakan di Muar, Johor pada 25 Oktober, diikuti Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Oktober.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok