Tiket PGLM ‘sold out’, 22,000 peminat masih menunggu

FENOMENA Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang  (PGLM) yang kembali menggegarkan dunia teater semakin terasa apabila keseluruhan tiket pementasan semula itu habis terjual dalam tempoh hanya dua jam selepas kaunter umum dibuka.

Lebih mengejutkan apabila lebih 22,000 peminat masih berada dalam senarai menunggu dalam talian sehingga pukul 10 malam tadi, sekali gus membuktikan permintaan terhadap muzikal berkenaan jauh melebihi kapasiti tempat duduk yang tersedia.

Fenomena itu berlaku hampir dua dekad selepas produksi berkenaan pertama kali dipentaskan dan menawan hati penonton Malaysia, sekali gus memberi gambaran bahawa karya tempatan masih mempunyai tempat istimewa dalam kalangan peminat seni persembahan.

Pengarah dan pencipta bersama produksi asal, Tiara Jacquelina, mengakui terharu dengan sambutan luar biasa yang diterima, malah menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai sesuatu di luar jangkaannya.

“Sejujurnya, saya sendiri hampir kehilangan kata-kata melihat apa yang berlaku malam ini. Selepas 20 tahun membawa Puteri Gunung Ledang ke pentas, hakikatnya cerita ini masih begitu dekat di hati rakyat Malaysia.

“Kini ramai pula generasi baharu yang begitu teruja mahu mengenali teater muzikal ini sehingga sangat menyentuh hati saya.

“20 tahun lalu, kami hanya mampu berharap PGLM akan menjadi sesuatu yang dikenang rakyat Malaysia. Malam ini mengingatkan kami bahawa mereka tidak pernah melupakannya,” katanya menerusi kenyataan media.

Menurut Tiara, angka lebih 22,000 peminat yang masih menunggu peluang walaupun tiket sudah habis dijual membawa makna lebih besar daripada sekadar kejayaan sesebuah produksi.

“Bagi saya, ini bukan sekadar cerita tentang Puteri Gunung Ledang. Ini satu petanda yang sangat menggalakkan untuk teater Malaysia serta seni persembahan negara.

“Ia menunjukkan penonton kita dahagakan cerita kita sendiri, bakat kita sendiri dan produksi tempatan yang lahir daripada kreativiti rakyat Malaysia,” ujarnya.

Pementasan 2026 turut menandakan kepulangan PGLM ke pentas selepas hampir dua dekad, kali ini di ‘rumah baharu’ iaitu Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.

Pada masa sama, Tiara turut menzahirkan penghargaan kepada peminat yang terus menyimpan karya berkenaan di hati sepanjang tempoh ini, termasuk mereka yang kini mahu membawa anak-anak menyaksikan pementasan tersebut.

“Ada yang bersama kami 20 tahun lalu dan kini mahu membawa anak-anak pula untuk menontonnya. Pada masa sama, ada generasi muda yang baru pertama kali akan mengenali dunia PGLM.

“Bagi saya, itulah antara perkara yang paling indah tentang kepulangan ini,” katanya.

Namun, katanya kejayaan menjual keseluruhan tiket bukan penamat buat Tiara dan pasukan kreatif Enfiniti selaku syarikat produksi, sebaliknya tanggungjawab mereka kini lebih besar untuk memastikan persembahan yang bakal disajikan mampu melangkaui jangkaan penonton.

“Kalau penonton sanggup memberikan kami kasih sayang dan kepercayaan sebesar ini sebelum mereka pun melihat persembahannya, maka kami berhutang kepada mereka untuk memberikan sesuatu yang benar-benar luar biasa apabila tirai dibuka nanti,” katanya.

Tiara turut memohon maaf kepada peminat yang sudah menunggu dalam talian tetapi gagal mendapatkan tiket, sambil mengakui pihaknya menerima beberapa perbincangan awal mengenai kemungkinan membawa produksi itu ke lokasi lain selepas musim pementasan kali ini.

“Sudah ada beberapa pihak yang mendekati kami dan perbincangan awal mengenai kemungkinan membawa PGLM melangkaui musim ini, termasuk minat dari beberapa negeri lain.

“Belum ada apa-apa yang dapat kami sahkan dan fokus mutlak kami sekarang adalah untuk memberikan sebuah persembahan yang luar biasa,” ulasnya.

PGLM akan dipentaskan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square dari 31 Oktober hingga 15 November ini.

Antara barisan pelakon ialah Mila Mohsin, Aisha Retno, Aqasha serya Mimi Fly. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok