Bukan darah daging, 4 selebriti curah kasih

TINDAKAN mengambil anak angkat bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan selebriti yang tidak pernah terlepas daripada perhatian umum.

Bagi sesetengah bintang ternama, kemewahan, populariti dan kesibukan memenuhi jadual seni bukan kekangan untuk mereka mencurahkan kasih sayang kepada anak angkat.

Malah, keputusan itu sering menyentuh hati peminat apabila mereka memilih untuk membesarkan anak angkat dengan penuh keikhlasan, tanpa menjadikan pertalian darah sebagai batasan untuk menyayangi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berikut HibGlam senaraikan selebriti seberang yang memilih membesarkan anak angkat, sekali gus membuktikan kasih sayang ibu dan bapa tidak semestinya terikat pada hubungan biologi.

Raffi Ahmad, Nagita Slavina

PASANGAN selebriti terkenal, Raffi Ahmad dan Nagita Slavina yang sudah memiliki dua cahaya mata lelaki iaitu Rafathar Malik Ahmad dan Rayyanza Malik Ahmad memutuskan untuk mengambil anak angkat perempuan yang diberi nama Lily.

Kehadiran Lily pada 2025 mencuri tumpuan ramai apabila diperkenalkan menerusi hantaran Instagram milik pasangan suami isteri itu.

Meskipun identiti dan asal-usulnya tidak dihebahkan secara terperinci demi menjaga privasi, Lily kini membesar sebagai kanak-kanak yang sangat comel dan ditatang bagai minyak yang penuh oleh pasangan itu.

Ussy Sulistiawaty

PELAKON Ussy Sulistiawaty memutuskan untuk mengambil anak angkat perempuan bernama Nur Amalia Putri atau mesra disapa Amel pada 2005.

Keputusan tersebut dilakukan sebelum mendirikan rumah tangga dengan pelawak Andhika Pratama.

Langkah tersebut diambil kerana Ussy pada ketika itu pernah didiagnos menghidap penyakit endometriosis yang menyebabkannya sukar hamil.

Meskipun kini sudah dikurniakan cahaya mata kandung, kasih sayang Ussy terhadap Amel tidak pernah berkurang. Malah dia melayani kesemua anak-anaknya sama rata.

Denny Cagur

PELAWAK Denny Cagur bersama isterinya, Shanty Widihastuti membuktikan keikhlasan hati apabila memilih mengambil seorang bayi lelaki sebagai anak angkat.

Bayi lelaki yang diberi nama Fadlikal Muhammad Arsha diambil pada 2016.

Tidak terhenti di situ, pasangan itu kembali menambah ahli keluarga menerusi pengambilan anak angkat kedua iaitu seorang bayi perempuan bernama Fazeela Meshwa Athari pada 2021.

Kehadiran Fazeela melengkapkan rumah tangga pasangan itu, malah mereka hidup bahagia bersama.

Zaskia Sungkar, Irwansyah

Pasangan selebriti Zaskia Sungkar dan Irwansyah mencuri perhatian apabila memperkenalkan bayi perempuan bernama Humaira menerusi hantaran di Instagram pada Januari 2025.

Zaskia dilaporkan menjalani proses induksi laktasi dengan bantuan doktor bagi membolehkannya menghasilkan susu ibu untuk Humaira meskipun tidak melalui proses kehamilan.

Usaha itu membolehkan Zaskia menjadi ibu susuan kepada bayi berkenaan, sekali gus mewujudkan hubungan mahram mengikut ketetapan hukum Islam apabila syarat penyusuan dipenuhi.

Keputusan pasangan dipuji ramai, malah mengingatkan peminat kepada Raffi Ahmad dan Nagita Slavina, yang turut membina keluarga menerusi pengambilan anak angkat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok