‘Apa kurangnya kita? Saya berhabis bawa PGL ke luar negara’

SELEPAS dua dekad sejak pertama kali dipentaskan, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) kini menghitung waktu untuk kembali berpencak tari memanaskan gelanggang teater air.

Sejak pengumuman watak dibuat, keterujaan peminat seni tanah air kian memuncak untuk menyaksikan kembali mahakarya yang pernah mencetuskan fenomena tersebut.

Malah, sejak pengumuman tersebut nama Puan Sri Tiara Jacquelina kembali menggegar perhatian memandangkan dialah susuk utama yang bertanggungjawab merealisasikan karya berskala mega tersebut.

Kejayaan demi kejayaan yang diraihnya menjadi bukti kecintaan mendalam terhadap seni, namun di sebalik kegemilangan yang diraih, wujud pelbagai pengorbanan dan fasa kejatuhan yang tidak pernah diketahui umum.

Bertemu empat mata dengannya, Tiara membuka lembaran kisah pahit manis yang jarang diceritakan kepada umum.

“Sebenarnya liku-liku yang saya lalui itu, orang tak pernah tanya dan saya tak pernah ceritakan.

Orang pun nak tahu benda yang indah-indah sahaja. Tapi banyak yang saya lalui yang tak pernah diceritakan sebab saya bukan jenis suka merengek atau mengomel.

“Dahulu sewaktu proses nak bawa filem Puteri Gunung Ledang kepada dunia, macam-macam kami kena harungi contohnya, kena tipu,” katanya kepada HibGlam.

MENJADI orang pertama yang merintis laluan membawa filem tanah air menembusi masuk ke penyertaan Anugerah Akademi merupakan satu kerja ‘gila’ namun Tiara juga berhasil memberitahu dunia bahawa Malaysia juga antara sebuah pengeluar filem, sama seperti negara-negara lain di Asia.

Pada masa sama, wanita berusia 58 tahun itu mendedahkan cabaran utama sewaktu mahu menembusi pasaran global adalah kekangan pengalaman industri tempatan yang ketika itu masih suram di persada antarabangsa.

“Kena tipu berkaitan pengedaran sebab ketika itu Malaysia tak pernah edarkan filem ke luar negara. Sebelum itu kita buat filem untuk pasaran sendiri sahaja.

Masa itu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pun tak biasa bawa filem ke luar. Banyak saya berhabis sebab kami tiada pengalaman dan tiada siapa dalam Malaysia berpengalaman.

“Setelah Puteri Gunung Ledang pelopori jalan untuk pergi ke pasaran antarabangsa, barulah filem-filem lain mula. Kami kongsi pengalaman kami dengan penerbit lain,” katanya lagi.

Tulis surat

Pengalaman membawa karya berkenaan ke pentas berprestij seperti Academy Awards (Oscars) juga menuntut strategi tersendiri memandangkan tiada rujukan lampau dalam negara.

“Kemudian angan-angan nak bawa filem ke Academy Awards. Siapa pun tak ada dalam Malaysia yang tahu, kita tak pernah buat.

Tapi saya kata kita kena cari jalan macam mana pun. Jadi kena tulis surat dulu, tanya orang di Amerika Syarikat, bagaimana cara memohon?

“Kemudian, kita dapat tahu bahawa proses nak masukkan filem tak boleh mohon sendiri tetapi mereka yang ajak.

“Jadi kena cari orang dalam Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS) untuk tonton dahulu filem kita dan tengok kita layak untuk diundang,” kongsinya.

Tambahnya, perjuangan tersebut menelan kos yang amat besar termasuk keseluruhan proses promosi dan penerbitan terpaksa ditanggung menggunakan dana peribadi.

“Semua festival filem kita pergi pakai duit sendiri, promosi dan kos penggambaran semua duit sendiri.

Mungkin itu liku-liku orang tak tanya, ingat senang buat filem mesti dapat pelabur dan dana, semua hasil titik peluh keluarga kami.

“Dahulu tak ada dana macam sekarang ini. Semua duit sendiri. Jadi bila ceritakan pengorbanan untuk Puteri Gunung Ledang, itu saya kadang-kadang terfikir.

Kalau duit itu saya tak laburkan, keluarga saya boleh hidup senang sampai anak cucu,” tuturnya.

TIARA cukup sedar lumrah dunia bahawa menjadi seorang pengkarya seni yang bercita-cita tinggi adakalanya tidak disenangi semua pihak.

Ditanya dorongan utamanya untuk membawa karya Malaysia ke pentas luar negara walaupun bermacam cabaran dilalui, pelakon filem Ringgit Kasorrga itu mahu melihat industri filem tanah air berdiri tinggi di persada antarabangsa.

“Saya teringin nak tengok cerita Malaysia dibawa ke dunia luar. Pada saya, apa kurangnya kita?

Saya kata pada diri, kalau tak buat ini entah bilalah dalam hidup saya akan berpeluang melihat filem Melayu ditayangkan di Cannes, Venice Film Festival.

“Jadi, saya kata, itu impian saya untuk negara,” luahnya.

Inisiatif berkenaan turut membuka mata penggiat perfileman antarabangsa yang sebelum ini tidak mengenali keupayaan sinema Malaysia.

“Jadi mereka terkejut apabila tahu Malaysia pun hasilkan filem. Saya cakap, sudah tentu kita buat filem sama macam Vietnam, China, Indonesia, Laos dan Filipina.

Itulah saat paling bangga saya kerana nak tengok Malaysia di sana. Di sana tajuk filem ditukarkan menjadi A Legendary Love,” katanya.

Menutup perbualan, Tiara menyifatkan segala rintangan, termasuk pandangan serong atau cemburu sesetengah pihak, sebagai ujian yang mendewasakan beliau sebagai seorang pelopor seni.

“Lumrah kehidupan dan itu antara pahit manis yang kena telan sebab kita pelopor. Kadang-kadang hati manusia ini kita tak boleh nak baca.

“Ada manusia yang nak melihat orang lain berjaya dan dia berterima kasih serta sokong selagi nak tengok orang lain buat sesuatu kelainan.

Ada manusia yang tak boleh tengok orang berjaya. Lagi kita nak buat sesuatu yang bagus, lagi dikata kita menyibuk, mahu menunjuk-nunjuk.

“Hati manusia masing-masing, apa pun alhamdulillah Puteri Gunung Ledang menjadi sebuah kejayaan.

“Semua yang kita pelajari dari pengalaman ini menjadi iktibar buat kami semua,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok