Pertahankan Elizabeth Holmes, Amanda Seyfried hipokrit?

AKTRES Amanda Seyfried, berdepan kecaman selepas kemunculannya dalam dokumentari terbaharu mengenai bekas pengasas syarikat Theranos, Elizabeth Holmes, mencetuskan polemik.

Seyfried, 40, yang pernah memenangi anugerah Emmy menerusi lakonannya sebagai Holmes dalam siri The Dropout, kembali mengundang perhatian apabila terbabit dalam dokumentari You Can See Everything arahan Nathan Fielder dan Lance Oppenheim yang ditayangkan pada 16 Oktober lalu.

Filem itu menelusuri kehidupan Holmes ketika dijatuhkan hukuman penjara 2023 dan kemunculan Seyfried dalam dokumentari tersebut mengejutkan penonton apabila dia bukan sahaja mengulas mengenai Holmes, malah membantu mencipta semula beberapa perbualan yang berlaku antara pengarah dengan bekas usahawan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penglibatannya menjadikan dokumentari itu semakin rumit apabila persoalan mengenai kebenaran, persepsi dan gambaran seseorang dalam karya hiburan mula dibangkitkan.

Bagaimanapun, sebahagian penonton menyelar pendirian Seyfried yang dilihat cenderung bersimpati terhadap Holmes, sebelum menunjukkan reaksi defensif apabila wanita itu mempersoalkan cara kehidupannya digambarkan menerusi siri The Dropout.

Mereka mendakwa pelakon itu seolah-olah mempertahankan Holmes sebagai mangsa manipulasi tetapi tidak selesa apabila hasil lakonannya sendiri dipersoalkan.

Kritikan itu pantas tersebar di media sosial malah ramai menyifatkan Seyfried tidak telus dan bersikap hipokrit.
Holmes sebelum ini disabitkan empat pertuduhan penipuan berkaitan usaha mengelirukan pelabur mengenai teknologi ujian darah Theranos dan dijatuhi hukuman penjara lebih 11 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok