SELEPAS membina perjalanan dalam dunia keusahawanan dan industri kreatif, pengasas Xing Yu Group dan VYBE, Dr. Kervis Soo, bakal membawa hasil usahanya pulang ke kampung halaman, Kluang, Johor, menerusi sebuah majlis penghargaan pada 13 November ini.
Majlis yang akan berlangsung di Kluang De Jiao Hui Zi Luan Ge itu bukan sekadar meraikan pencapaian beliau, malah menjadi ruang untuk menghargai individu yang banyak menyokong perjalanan hidup dan kerjayanya, termasuk ahli keluarga, guru, rakan sekolah serta rakan industri perfileman.
Pengerusi International Chinese Foundation itu turut menggabungkan majlis berkenaan dengan pelancaran VYBE Ai SHOW Talent Competition dan sesi pertemuan media, sekali gus menghimpunkan penggiat seni serta pencipta kandungan dalam sebuah acara yang menampilkan perkembangan terbaharu projek kreatifnya.
Majlis tersebut diadakan bersempena peringkat akhir penggambaran filem The Day We Start Again, selain mengetengahkan enam filem yang melibatkan Soo sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerjasama perfileman antarabangsa, muzik asli, penerbitan buku, platform pencipta kandungan dan inisiatif kebajikan.
Bagi Soo, 34, kepulangannya ke Kluang membawa makna tersendiri kerana bandar itu merupakan tempat beliau membesar.
Menerusi karya filem, beliau berharap dapat memperkenalkan kampung halamannya kepada khalayak lebih luas, termasuk penonton di peringkat antarabangsa.

Mempunyai kira-kira 20 tahun pengalaman dalam bidang keusahawanan internet dan pengurusan komuniti, perjalanan Soo bermula dengan pembangunan Blue Sky Forum pada 2006 sebelum berkembang ke bidang perfileman, kecerdasan buatan (AI) dan industri pencipta kandungan.
Sementara itu, perjalanan perniagaan dan jenama kumpulannya telah berkembang sepanjang tujuh tahun lalu, sekali gus membuka ruang untuk beliau meneroka pelbagai cabang industri kreatif.
Bagaimanapun, kepulangan kali ini bukan semata-mata untuk meraikan pencapaian profesional, sebaliknya menjadi peluang buat Soo menzahirkan penghargaan kepada mereka yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang perjalanan tersebut.
Menariknya, hubungan Soo dengan program bakat Ai SHOW bermula sejak 2009, ketika beliau berusia 17 tahun dan mengetuai sebuah kumpulan muzik untuk menyertai pertandingan berkenaan di sekolah lamanya, Sekolah Menengah Chong Hwa Kluang.
Selepas 17 tahun, beliau kembali dengan membawa perkembangan berbeza menerusi filem, muzik, buku dan platform pencipta kandungan VYBE.
Beliau berharap nama serta semangat asal Ai SHOW dapat diteruskan menerusi VYBE Ai SHOW Talent Competition, sekali gus menyediakan peluang kepada generasi baharu pencipta kandungan untuk mengetengahkan bakat masing-masing. – HIBGLAM

