KARYA filem pembikin Indonesia sememangnya wadah seni yang terlalu erat di jiwa pencinta tanah air. Apa sahaja yang menjadi perhatian menjadi di tanah seberang, pasti juga mencetus keinginan untuk disaksikan peminat di Malaysia.
Hujung minggu lalu, sinema Indonesia kembali mencatatkan sejarah emas di persada antarabangsa apabila barisan karyawannya terus konsisten melakar kejayaan membanggakan di festival filem berprestij rantau Asia, Busan International Film Festival (BIFF).
Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja membuktikan bahawa kualiti sinema Nusantara semakin diiktiraf di mata dunia, malah menjadi lambang ketekunan, kreativiti dan sentuhan magis pembikin filem yang tidak pernah gentar bereksperimen dengan pelbagai genre cerita yang segar serta mendalam.
Menembusi senarai pencalonan rasmi di Busan sudah pun dianggap sebagai satu penghormatan yang besar bagi mana-mana pembikin filem, apatah lagi apabila berjaya membawa pulang trofi kemenangan utama.
Sejajar itu, HibGlam minggu menyenaraikan filem Indonesia yang pernah merangkul anugerah berprestij di Busan. Semoga nanti, karya pembikin tanah air juga menyinar sebegitu indah di peta perfileman dunia.
Ibuku

SUTRADARA Eddie Cahyono mencuri tumpuan apabila sentuhan berjudul Ibuku diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Juri pada BIFF2026.
Kejayaan tersebut membuktikan keupayaan Eddie dalam menggarap emosi penonton melalui penceritaan kekeluargaan yang mendalam dan menyentuh jiwa.
Mengisahkan perjuangan hebat seorang ibu, Sumiati (lakonan Christine Hakim) mengumpulkan dana demi menyelamatkan anak perempuannya, Sri (Ayushita Nugraha) yang berdepan hukuman mati di Arab Saudi.
Filem berkenaan sarat isu imigran, hak asasi manusia dan hubungan kekeluargaan yang mendalam.
Pangku

FILEM sulung arahan pelakon Reza Rahadian, Pangku turut melakar sejarah luar biasa apabila membolot empat penghargaan pada BIFF 2025.
Karya debut tersebut merangkul anugerah KB Vision Audience Award, FIPRESCI Award, Face of the Future Award dan Central Asia Cinema Award daripada Bishkek International Film Festival.
Pangku mengangkat kisah berlatarkan realiti kehidupan masyarakat kelas bawahan di wilayah pesisir pantai utara Jawa, Indonesia.
Naratifnya menyorot perjuangan hidup seorang wanita bernama Sartika lakonan Claresta Taufan Kusumarina yang berdepan liku kehidupan demi meneruskan kelangsungan hidup sebagai pelayan kedai bersama anak kecilnya. Istilah ‘pangku’ atau budaya kedai kopi kampung sering dikaitkan dengan realiti sosial yang kotor, sarat beban ekonomi, ketidaksamaan gender serta pergolakan emosi pelacur kelas bawahan.
Madonna

SEBUAH lagi naskhah filem pendek berkualiti tinggi yang mendapat pengiktirafan di pentas BIFF adalah Madonna karya pengarah Sinung Winahyoko, yang turut berjaya membawa pulang Sonje Award pada edisi BIFF 2017.
Filem pendek tersebut mengetengahkan sebuah naratif yang sarat konflik kemanusiaan, dilema moral serta realiti kehidupan masyarakat bawahan di Indonesia.
Madonna mengisahkan sebuah keluarga daif yang terdesak serba-serbi. Di tengah-tengah kesempitan hidup tersebut, cerita berpusat pada konflik peribadi dan dilema moral yang terpaksa ditanggung watak-wataknya demi mencari jalan keluar bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Laut Memanggilku

KARYA filem pendek arahan sutradara Tumpal Tampubolon, Laut Memanggilkuy cemerlang mengharumkan nama pertiwinya apabila dinobatkan sebagai penerima Sonje Award bagi kategori Filem Pendek Asia Terbaik pada BIFF 2021.
Mengangkat kisah menyentuh hati, karya berkenaan bercerita mengenai kehidupan seorang kanak-kanak lelaki bernama Sura lakonan Muhammad Umar di perkampungan nelayan miskin.
Tanpa kehadiran ibu bapa di sisi, Sura mengharungi hari-hari penat mencari rezeki di kawasan pesisir pantai. Meskipun berdurasi pendek, Laut Memanggilku memuatkan kritik sosial yang sangat tajam mengenai kemiskinan tegar, pengabaian hak kanak-kanak dan realiti pahit golongan marhaen.
Kejayaan di Busan bukti bahawa format filem pendek juga ada kekuatan naratif yang sangat ampuh dalam menyampaikan isu kemanusiaan dan realiti sosial.
Senyap

FILEM dokumentari agung karya Joshua Oppenheimer (hasil kerjasama produksi antarabangsa) mencipta fenomena global apabila dijulang sebagai pemenang Busan Cinephile Award di BIFF 2014.
Sebagai kesinambungan kepada karya terdahulunya, The Act of Killing, dokumentari itu merakamkan detik berani seorang tukang kaca mata. berdepan pembunuh abangnya dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai di Indonesia pada 1965 yang meledakkan isu hak asasi manusia.
Selain diangkat dalam BIFF, Senyap turut memenangi Grand Jury Prize pada Festival Filem Venice ke-71 dan dicalonkan untuk Academy Award for Best Documentary Feature (Anugerah Oscar). – HIBGLAM

