LAMA berkelana, rupa-rupanya sudah 30 tahun kumpulan Hijjaz menyemarakkan irama nasyid tanah air dengan alunan merdu mengisi rohani semua banyak khalayak.
Lagu-lagu mereka kebanyakannya masih menjadi siulan dan santapan jiwa buat masyarakat hingga kini.
Sempena ulang tahun ke-30 penubuhan mereka, Hijjaz menghadiahkan sebuah persembahan istimewa menerusi Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah yang berlangsung meriah di Istana Budaya.
Bukan sahaja membawa peminat mengimbau zaman nostalgia, malah Hijjaz turut menyusuri perjalanan seni yang mewarnai industri sejak tahun 1997.
Tepat pukul 8.30 malam, mereka membuka pentas dengan alunan Asmaul Husna dan diikuti dengan tayangan montaj dalam bentuk AI (kecerdasan buatan).
Diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan, kumpulan yang dianggotai Munif Ahmad, Isman Isam, Faizal Osman dan Ariffin Rahim itu mendendangkan 32 buah lagu, termasuk Bismillah, Zapin Kesyukuran, Dia Kekasih Allah, Fatamorgana serta Pelita Hidup.

TIDAK tenggelam dek kemeriahan irama muzik lain, nasyid Hijjaz ternyata kukuh pengaruh apabila Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah ‘laku keras’ bahkan ‘sold out’ sepanjang dua malam beraksi di Istana Budaya. – SYAKIR RADIN
Suasana dewan turut bergegar dengan lemparan vokal mantap menerusi lagu medley Meniti Mimpi, Sebelum Terlena, dan Malam, selain interaksi bersahaja anggota kumpulan bersama peminat setia yang menyokong sejak era kaset lagi.
Sedar tak sedar dari mendidik artis sampai dah tiga dekad berada dalam industri. Kerana anda kami berada di sini.
“Terima kasih atas doa untuk menghibur bersama kami. Ada yang ikut dari peringkat awal pada zaman kaset,” kata Isman.
Konsert diteruskan dengan seleksi lagu kerohanian seperti Rindu, Jalan Bahagia, Yang Maha Penyayang, serta medley Rabbi Sallimna, Hukum Tuhan dan Mesra Desa.
Vokal bersahaja dan bertenaga kesemua anggota, khususnya Munif terus menyentuh jiwa penonton di sepanjang persembahan.
Momen paling menyentuh hati apabila lagu Kau Sahabat Kau Teman berkumandang bagi mengenang pemergian bekas anggota kumpulan itu, Allahyarham Mohd. Salleh Ramli yang kembali ke rahmatullah pada Februari 2001.
Persembahan kemudian disusuli deretan lagu popular lain seperti Qasidah, Mawal, Rasulullah, Irama Kasih, Ritma Kehidupan, Gurindam Berkasih, Permaisuri Hatiku dan Berkorban Demi Cinta.
Kumpulan bawah naungan
Lebih istimewa, konsert berkenaan turut menampilkan deretan artis naungan pengurusan mereka iaitu kumpulan Aeman, Mestica, UNIC dan In-Team yang mempersembahkan lagu hit seperti Buatmu Ibu, Puteriku Sayang, Ainul Mardhiah, dan Kasih Kekasih.
Malah, pentas turut diserikan dengan kemunculan Hijjaz Junior yang dianggotai anak-anak kepada anggota kumpulan itu menerusi dendangan lagu Cahaya Ilahi.
Seleksi hit lain yang turut dibawakan pada konsert berkenaan termasuklah Sifat Mahmudah, Mata Hati, Kawan, Dunia Yang Sepi dan Sunnah Orang Berjuang.
Kami baru sahaja terbitkan album baharu setelah 15 tahun tidak keluarkan album yang memuatkan enam buah lagu,” ujar Faizal usai mempersembahkan Akhir Bersama-Mu, Iman dan Islam.
Konsert berdurasi selama hampir tiga jam turut diserikan dengan alunan Lukisan Alam dan Terima Kasih Segalanya.
Sebagai penutup, Hijjaz mendendangkan lagu malar segar berjudul Sumayyah sekali gus memuaskan hati peminat yang hadir.
Kehadiran penonton penuh selama dua malam berturut-turut di Istana Budaya jelas membuktikan legasi dan kedudukan Hijjaz kekal kukuh dalam industri nasyid tanah air.

GANDINGAN Hijjaz dan In-Team di atas sebuah pentas jelas menunjukkan keakraban dan penyatuan dua kumpulan nasyid legenda itu.

