KALI pertama dicalonkan dan terus melakar kejayaan menerusi kategori Pelakon Komedi TV Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA2026).
Itu momen manis yang dilakar Zahiril Adzim sekali gus menambah satu lagi pengiktirafan yang diraih sepanjang lebih dua dekad bergelumang dalam dunia seni tempatan.
Pemilik nama lengkap Muhammad Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar itu berkata, kemenangan tersebut di luar jangkaannya, apatah lagi persaingan yang disifatkannya cukup sengit.
“Bila tengok persaingan memang hebat-hebat, tambahan pula ini kali pertama saya tercalon untuk ASA, kategori pelakon komedi pula itu.
“Saya bukan pelawak, sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon komedi berdasarkan naskhah. Memang tidak saya jangka langsung kemenangan ini,” katanya kepada HibGlam.
Ujar aktor berusia 42 tahun itu, setiap pelakon perlu memberikan komitmen terbaik terhadap watak yang diberikan tanpa mengira genre sesebuah naskhah.
Sebagai pelakon, kita perlu lakukan sehabis baik setiap amanah yang diberi, termasuk buat komedi atau apa sahaja yang dituntut sesebuah naskhah.
“Cuma saya nak tegaskan, saya bukan pelawak, sebaliknya cuma pelakon yang buat cerita komedi,” katanya.
Mengulas mengenai pengiktirafan terhadap bakatnya, dia enggan mendabik dada atau melabel dirinya sebagai selebriti serba sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab berdasarkan kehendak pengarah.
“Saya tidak mahu label diri sendiri sebab hanya lakukan apa yang pengarah minta sahaja.
“Sejujurnya saya memang suka genre komedi. Sekarang pun sedang buat persiapan untuk mengarah sebuah filem komedi bulan November ini,” ujarnya yang memberitahu dirinya bukan seorang individu berpewatakan serius.
Tambahnya, genre komedi bukan sekadar hiburan tetapi menjadi cara untuk menggembirakan dan mengurangkan tekanan orang lain khususnya penonton termasuk ketika bekerja di set penggambaran.
“Saya suka buat orang rasa tidak tertekan. Kalau saya dapat buat seorang lupakan masalah mereka sebentar pun, sudah cukup besar impaknya untuk saya.
“Saya tidak suka persekitaran sekeliling saya tertekan. Jadi biarlah saya ceriakan persekitaran, sekurang-kurangnya untuk diri saya sendiri,” ujar bintang filem Martabat: Misi Berdarah itu.
Dalam pada itu, dia turut menjadikan pelakon berpengalaman seperti Sabri Yunus dan Allahyarham Jalil Hamid sebagai contoh individu yang dihormatinya dalam dunia komedi.
“Saya bukan pelawak tetapi cuma pelakon komedi. Rasa-rasanya ada beza antara pelawak dan pelakon komedi.
“Pelakon komedi, pada saya dia ikut kehendak sesebuah naskhah.
Saya sangat memandang tinggi pelakon berpengalaman seperti Sabri Yunus dan arwah Jalil Hamid. Mereka contoh-contoh pelakon versatil,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Zahiril bakal mengarahkan filem aksi komedi berjudul Gagalis terbitan sutradara Adrian Teh pada November ini.
“Projek tersebut juga menjadi pengalaman pertama saya mengarahkan filem secara solo.
Ini filem aksi komedi. Insya-Allah bulan 11 ini akan mula penggambaran,” tuturnya mengakhiri temu bual.

