LAMA menyepi daripada persada balada sarat emosi, penyanyi Haqiem Rusli akhirnya kembali menyarung jersi muzik yang pernah melonjakkan namanya sebagai antara pelantun lagu galau paling berpengaruh dalam kalangan pendengar tempatan.
Selepas bereksperimen dengan beberapa karya berentak pop dan slow rock, penyanyi berusia 28 tahun itu memilih untuk kembali menyelami dunia balada menerusi single terbaharu berjudul Katamu Sekejap yang juga runut bunyi drama Sepenuh Hati Rindu.
Lebih menarik, naskhah berkenaan hadir ketika Haqiem mula mengorak langkah sebagai artis bebas, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya.
Kepulangan itu turut membawa misi tersendiri apabila Haqiem mahu menjawab suara pendengar, khususnya peminat setia merindui lontaran vokal tinggi serta penghayatan mendalam seperti pernah dipamerkan menerusi lagu Tergantung Sepi dan Segalanya.
Biarpun perjalanan muziknya tidak pernah terhenti, pemilik nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli itu mengakui setiap karya hadir bersama cabaran tersendiri, lebih-lebih lagi apabila perlu menghidupkan lagu tema drama dengan jalan cerita serta emosi watak belum sepenuhnya difahami.
Saya agak bimbang ketika menerima cabaran menyanyikan lagu ini kerana proses pembikinannya berlangsung dalam tempoh singkat. Lagu ini mempunyai beberapa bahagian bernada tinggi, jadi saya perlu memastikan suara mampu mencapai nota berkenaan dengan baik.
“Pengalaman merakamkan Tergantung Sepi banyak mengajar saya. Ketika itu, saya pernah menyangka mampu membawa bahagian bernada tinggi, tetapi penggubah muzik mengingatkan saya supaya menjalani latihan terlebih dahulu.
“Untuk Katamu Sekejap, bahagian tinggi itu masih mencabar, namun susunannya lebih sesuai dengan kemampuan vokal saya. Apa pun, saya tetap perlu berlatih supaya dapat menyampaikan lagu ini dengan sempurna,” katanya kepada HibGlam.
Tambah Haqiem, cabaran seterusnya ialah menyelami jalan cerita drama Sepenuh Hati Rindu, memandangkan dia belum menonton keseluruhan naskhah berkenaan ketika proses penghasilan lagu bermula.

Haqiem muncul dengan single baharu,Katamu Sekejap.
Justeru, dia mengambil pendekatan membiasakan diri dengan lirik setiap malam sambil membayangkan pelbagai situasi berkaitan emosi serta perjalanan hidup seseorang.
Saya belum benar-benar mendalami jalan cerita drama ini. Setakat ini, saya baru mengetahui sinopsisnya, jadi saya perlu berusaha lebih untuk memahami emosi di sebalik lagu tersebut.
“Kebiasaannya, saya akan membaca lirik setiap malam sambil membayangkan situasi tertentu. Saya boleh mengambil inspirasi daripada pengalaman sendiri atau kisah orang lain. Bagi saya, apabila kita benar-benar menghayati cerita di sebalik lirik, barulah perasaan itu dapat disampaikan kepada pendengar,” ujarnya.
Haqiem tidak menafikan komen pendengar di media sosial turut menjadi antara faktor mendorongnya kembali menghasilkan karya balada.
“Saya berharap lagu ini mampu pergi lebih jauh dan menjadi jawapan kepada beberapa komen pendengar di TikTok dan Instagram, termasuk mereka bertanya mengapa saya kerap menghasilkan lagu slow rock dan tidak kembali kepada balada seperti karya terdahulu.
“Walaupun ada komen kedengaran kasar, saya melihatnya dari sudut positif kerana mungkin ada kebenaran di sebalik teguran itu. Saya tidak mahu terus menolak kritikan, sebaliknya menjadikan panduan untuk memperbaiki diri.
“Sebab itu, menerusi lagu ini, saya mahu kembali kepada akar muzik balada seperti Segalanya dan Tergantung Sepi, karya pernah memperkenalkan saya kepada ramai pendengar,” ujarnya.
Rezeki besar
Sementara itu, penerbit drama, Jaja Ishak menyifatkan kesediaan Haqiem menerima tawaran menyanyikan Katamu Sekejap sebagai satu rezeki besar, malah menganggap peluang bekerjasama dengan penyanyi itu sebagai sesuatu di luar jangkaannya.
“Saya meminati lagu-lagu Haqiem dan melihat rekod karya terdahulunya sangat baik. Drama ini banyak bermain dengan perasaan dan dia mempunyai karakter serta kekuatan vokal sesuai untuk menyampaikan emosi tersebut.
“Sebelum ini saya tidak berani menawarkannya untuk membuat persembahan kerana menyangka kosnya terlalu tinggi.
Alhamdulillah, tahun ini rezeki kami lebih baik. Saya benar-benar terkejut dan teruja apabila Haqiem menerima tawaran daripada syarikat saya. Bagi saya, itu membuktikan dia tidak memilih syarikat atau label, asalkan pihak terbabit memberikan komitmen terbaik,” dedahnya.
Menurut Jaja, pertemuan tersebut membuka ruang untuk mereka saling mengenali, sekali gus mencetuskan idea menghasilkan lagu tema bersama.
“Biasalah, apabila berdepan artis terkenal, ada rasa segan dan terfikir sama ada dia sudi meluangkan masa bersama kita. Pada mulanya, saya juga tertanya-tanya sama ada Haqiem seorang yang sukar didekati.
“Daripada pertemuan itulah timbul idea untuk bekerjasama. Saya bersyukur kerana peluang ini akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.
Lagu Katamu Sekejap dijadualkan dilancarkan di semua platform penstriman digital pada 26 Oktober ini, manakala drama Sepenuh Hati Rindu dibintangi Shah Jaszle, Farah Nabilah, Razzuan Rosli dan barisan pelakon lain bakal menemui penonton menerusi slot Samarinda TV3 bermula 27 Oktober ini.

