“Kalau betul arwah suami saya tinggalkan RM1.17 bilion dalam akaun, silakan tampil dengan bukti seperti penyata bank dan butiran akaun, saya cabar tunjukkan.
Percayalah, tiada siapa yang lebih gembira selain saya dan lima anak kami sekiranya perkara ini benar-benar wujud,” katanya dalam satu hantaran media sosial.
Dia turut menegaskan habar angin tersebut tidak masuk akal memandangkan tidak pernah mengetahui kewujudan wang sebanyak itu.
“Hebat betul orang luar lagi tahu daripada tuan badan sendiri yang sampai sekarang masih mencarinya jika benar ada.
Janganlah main petik nama arwah sesuka hati untuk bergosip kerana arwah sudah tiada lagi untuk mempertahankan diri di dunia,” katanya lagi.
Kakak kepada aktor, Shaheizy Sam itu turut menasihati orang ramai agar berhati-hati dalam menyebarkan spekulasi dan fitnah melibatkan individu yang sudah meninggal dunia.
Nak bergosip berpada-padalah, banyakkan istighfar kerana takut nanti di akhirat kena jawab satu persatu di hadapan Allah SWT.
“Semoga kita semua dijauhkan daripada terus terjerumus dalam dosa fitnah yang merosakkan ini,” ujarnya.
Dalam perkongsian berasingan, Zizie turut memuat naik tangkap layar perbualannya dengan seorang individu yang menyampaikan khabar angin kononnya Allahyarham Bung Moktar mempunyai banyak wang simpanan seperti didakwa segelintir pihak.
Zizie mengakui terkejut dengan dakwaan itu, malah sempat berseloroh bahawa kehidupannya tentu lebih mudah sekiranya perkara tersebut benar kerana tidak perlu perlu menjalankan perniagaan untuk kelangsungan hidup.
“Untuk kali ini, secara jujurnya saya berharap khabar angin itu benar dan bayangkanlah sekiranya perkara tersebut memang betul-betul ada,” katanya berseloroh.
Terdahulu, Zizie mendirikan rumah tangga dengan Bung Moktar pada 2009 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata serta turut membesarkan dua anak angkat.
Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember 2025 di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru. – HIBGLAM

