PENDAKWAH selebriti, Haris Ismail atau PU Riz menegur sikap segelintir pihak yang gemar menghakimi dan mengaibkan seseorang secara berlebihan, seolah-olah satu kesilapan mampu memadamkan segala kebaikan pernah dilakukan individu terbabit.
Ujar Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, 31, masyarakat seharusnya lebih berhati-hati ketika berbicara mengenai keburukan orang lain, apatah lagi apabila tidak mengetahui keseluruhan kisah di sebalik sesuatu perkara.
“Janganlah melampau ketika membicarakan perihal seseorang. Sekalipun individu itu mempunyai keburukan, tidak bermakna segala kebaikan pernah dilakukannya turut terhapus.
Tidak perlulah sampai menghina dan memalukan sesiapa. Seseorang mungkin gagal dalam satu perkara, tetapi itu tidak bermakna dia akan terus berada pada tahap sama selama-lamanya,” katanya dalam Threads.
Tambah suami kepada selebriti, Neelofa itu, Islam mengajar umatnya supaya bersederhana ketika menilai orang lain, selain memberikan ruang kepada setiap individu untuk memperbaiki diri.
Al-Quran mengajar kita menjadi ummatan wasatan, iaitu umat pertengahan atau bersederhana. Oleh itu, janganlah kita melampau ketika membuat penilaian terhadap sesiapa.
“Sedangkan seseorang dengan dosa sebesar langit sekalipun masih berpeluang mendapat keampunan Allah SWT, apatah lagi seorang ayah mungkin mempunyai kekurangan, tetapi tetap memiliki sisi kebaikan tersendiri,” ujarnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan pesanan bapa dua anak itu, selain berharap masyarakat lebih mengutamakan doa dan sokongan berbanding kecaman terhadap individu berdepan kontroversi.
“Setuju. Doakan perkara baik-baik supaya mereka menjadi insan lebih baik pada masa akan datang dan bertanggungjawab kepada pihak sepatutnya. Insya-Allah, semoga segala urusan dipermudahkan,” komen seorang pengguna media sosial.
“Kita manusia bukan malaikat yang sempurna. Daripada mencemuh baik kita mendoakan yang terbaik. Kita tak tahu mungkin dia akan lebih baik dari kita lepas ini,” tulis netizen. – HIBGLAM

